Angkasa tingkat usaha bantu tangani kos sara hidup
PETALING JAYA - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) berhasrat untuk meningkatkan lagi sumbangannya di bawah Program Pembekalan Barangan Asas 100 (BA100) bagi membantu kerajaan menangani isu kos sara hidup.
Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, gerakan koperasi itu menyasarkan untuk meningkatkan nilai transaksi di bawah program berkenaan daripada lebih RM12 juta yang dicapai pada tahun lalu kepada antara RM250 juta hingga RM300 pada tahun 2023.
Beliau berkata, setakat ini, inisiatif BA100 yang dikendalikan di bawah Angkasa membabitkan 2,800 kedai runcit yang berdaftar.
"Ini melibatkan sekitar 20 unit penyimpanan stok (SKU) barang-barang keperluan harian," katanya ketika ditemui selepa menerima lawatan rasmi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick di Wisma Ungku Aziz di sini, pada Selasa.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Saraswathy Kandasami.
Beliau berkata, menerusi lawatan tersebut, Ewon telah meminta agar gerakan koperasi untuk turut sama membantu kerajaan khususnya dalam meningkatkan pendapatan rakyat dan seterusnya mengatasi masalah kemiskinan
Pada masa sama, Abdul Fattah berkata, beliau turut menyampaikan beberapa permintaan kepada kerajaan dalam membantu meningkatkan lagi sektor koperasi di dalam negara.
Antara dibangkitkan adalah mengenai penambahbaikan terhadap sektor berkenaan melalui langkah mengkaji semula akta dan undang-undang yang dilihat mengekang pertumbuhan dan perkembangan perniagaan koperasi dalam pasaran terbuka.
Selain itu, turut ditekankan adalah keperluan untuk meningkatkan peruntukan pembangunan koperasi dan mengiktiraf koperasi sebagai entiti perniagaan setaraf perusahaan kecil, mikro dan sederhana (PMKS).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!