KBS pastikan pembangunan belia, sukan terus holistik

Hannah mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri di Menara KBS, Putrajaya pada Selasa. - Foto KBS Malaysia
Hannah mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri di Menara KBS, Putrajaya pada Selasa. - Foto KBS Malaysia
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan terus memastikan pembangunan belia dan sukan secara holistik terus terjamin antara kerajaan Persekutuan dengan negeri menerusi Mesyuarat Penyelarasan Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri.

Menterinya, Hannah Yeoh optimis kerjasama antara kedua-dua pihak dapat dicapai selepas mengadakan semula mesyuarat itu yang kali terakhir dipengerusikan pada 2018 oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Hannah berkata, mesyuarat itu akan diadakan sekurang-kurangnya dua kali setahun bertujuan membolehkan kementerian mengenal pasti selain membincangkan isu-isu semasa belia dan sukan di peringkat akar umbi serta memperakukan cadangan tindakan dalam usaha meningkatkan pembangunan belia dan sukan.

"Selain itu, saluran komunikasi yang wujud ini satu manifestasi identiti dan hala tuju Kerajaan Perpaduan yang jelas mahukan penglibatan kerajaan negeri bagi membangunkan masa depan Malaysia bersama," katanya pada sidang media sebelum mempengerusikan mesyuarat itu di Menara KBS di Putrajaya pada Selasa.

Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Menterinya, Adam Adli Abdul Halim; Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Alfren Angin serta semua Exco Belia dan Sukan negeri kecuali Selangor. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!