BISA mampu tingkat motivasi PKS
SHAH ALAM - Pelbagai pihak menyambut penganjuran Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) yang bakal dianjurkan oleh Sinar Harian pada Februari depan.
Pakar Ekonomi daripada University College i-CATS Kuching, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, penganugerahan itu merupakan satu langkah sangat baik bukan sahaja untuk mengiktiraf golongan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), tetapi secara tidak langsung meningkatkan motivasi kepada pemain dalam industri tersebut.
Jelasnya, inisiatif itu diharapkan dapat dianjurkan secara konsisten setiap tahun agar ia dinanti-nantikan bukan sahaja pemain industri malah rakyat Malaysia untuk mengenal pasti PKS terbaik di dalam negara.
“Kita lihat dalam bidang hiburan ada media yang terkenal dengan pemberian anugerah termasuk pertandingan lagu. Jadi, saya harap Sinar Harian juga akan terkenal dengan anugerah BISA untuk memartabatkan golongan PKS,” katanya kepada Sinar Harian.
BISA yang bakal berlangsung pada 23 Februari depan dianjurkan bagi mengiktiraf dan menghargai usahawan tempatan khususnya pemain industri PKS di Malaysia menerusi lapan kriteria yang ditetapkan.
Setiap calon dipilih berdasarkan ciri-ciri kepimpinan, berdaya saing, mempunyai rangkaian perniagaan yang luas, kemampuan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi setempat, memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, selain mampu menyediakan sumber manusia yang berintegriti dan komprehensif untuk mengekang pertambahan gejala rasuah.
Pelbagai kategori anugerah ditawarkan oleh Sinar Harian yang bakal dimiliki oleh para usahawan dari pelbagai sektor dan industri.
Shazali berkata, PKS sememangnya menjadi tulang belakang yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara terutamanya dalam menyediakan nilai tambah kepada rakyat dan negara.
Jelasnya, berbanding syarikat berskala besar, industri PKS dilihat memberikan impak lebih unik terutamanya dalam hal menyediakan peluang pekerjaan termasuk rantaian bekalan barangan.
“Apa yang menarik, kesan positif industri ini dilihat lebih menyeluruh termasuk di kawasan-kawasan luar bandar, berbanding syarikat besar yang hanya tertumpu di bandar raya utama.
“Jadi limpahan ekonomi diberikan itu memang sangat unik. Walaupun berskala kecil tetapi ia lebih berimpak tinggi,” ujarnya.
Menurut Shazali, dengan sumbangan bernilai RM572.6 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), PKS yang turut meliputi perniagaan mikro menyumbang kepada 90 peratus daripada jumlah perniagaan berdaftar di Malaysia.
Beliau turut menasihati golongan PKS meningkatkan tumpuan kepada pemasaran produk syarikat PKS bukan sahaja di dalam negara ke pasaran luar yang lebih besar dengan pendekatan luar biasa meliputi pelbagai platform termasuk di sosial media.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!