Korban masa, usia remaja demi menjaga ibu
PASIR PUTEH - Seorang wanita di Kampung Dalam Rhu di sini terpaksa berkorban masa dan usia menjaga ibu yang menghidap penyakit strok parkinson sejak mengandungkannya.
Nezira Tul Adawiah Long Mahmood, 24, mengambil alih tanggungjawab itu selepas semua abang dan kakaknya berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri.
Bercerita rutin hariannya, Nezira memberitahu, seawal pagi dia akan memandikan ibunya Aminah Deraman, 65, dan menyuap sarapan sebelum memberi ubat.
Anak bongsu daripada sembilan beradik itu berkongsi cerita kakak dan abangnya sebelum ini bahawa ibu mereka mula mengalami tanda penyakit berkenaan ketika usia kandungan tiga bulan.
"Ketika itu tiada siapa yang tahu ibu mengandungkan saya sehingga dia demam panas dan dibawa berjumpa doktor di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
"Ujian air kencing mengesahkan keadaan ibu yang turut menghidap penyakit darah tinggi," katanya ketika ditemui di rumahnya pada Selasa.
Menurut Nezira, ibunya dibawa pulang ke rumah dan dijaga oleh abang dan kakak secara bergilir-gilir tetapi dimasukkan ke wad semula kira-kira dua minggu.
"Dalam tempoh itu ibu selamat melahirkan saya tetapi perlu bergantung kepada ubat sepenuhnya supaya dia berada dalam keadaan selesa," katanya.
Bagaimanapun kata Nezira, ibunya berkeras tidak mahu melakukan rawatan susulan di hospital dan kali terakhir menerima rawatan pada tahun 2007.
Tambah Nezira, mereka membeli ubat di farmasi dengan kos RM200 seminggu bagi mengurangkan beban masalah yang ditanggunh ibunya itu.
Tambah Nazira, bapanya Long Mahmood Long Ismail, 67, yang bekerja sebagai nelayan terpaksa menyediakan belanja untuk membeli ubat berkenaan.
Ibu Nezira menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 tetapi tidak mencukupi untuk menampung kos ubat yang mahal.
"Namun dalam tempoh dua tahun ini, ibu akan menggelupur dan meraung selepas makan ubat selain air liur dan najisnya bertukar kehitaman.
Justeru, jelas Nezira, badan ibunya penuh parut kerana kerap melukakan diri sendiri ketika meminta ubat atau selepas diberi ubat.
"Jika saya tidak memberinya ubat itu, ibu akan menangis dan menjerit sepanjang masa sehingga membawa ke pagi esoknya," katanya.
Nezira bersyukur kerana ibunya masih boleh menikmati makanan biasa seperti nasi dan lauk-pauk.
Dia yang hanya bersekolah setakat Darjah Empat mempunyai impian untuk bekerja dan memegang wang hasil titik peluh sendiri.
"Saya terpaksa melupakan hasrat untuk bekerja dan hanya mahu menumpukan perhatian kepada kesihatan ibu. Saya juga mahu ibu sihat seperti orang lain," katanya.
Orang ramai yang mahu membantu meringankan beban Nezira dan ibunya boleh menghubunginya di talian 01161057840 atau menyumbang melalui Bank Muamalat di nombor 13030015210720.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!