Latheefa diminta berhati-hati keluar kenyataan
KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Kenyataan Latheefa Koya yang mengingatkan orang ramai supaya tidak memaksa wanita bertudung sangat merbahaya dan tidak wajar sama sekali dikeluarkan oleh seorang wanita Muslimah.
Naib Ketua Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pada asasnya, perlu difahami bahawa menutup aurat adalah sesuatu yang menjadi kewajipan di dalam Islam.
“Aurat seorang Muslimah bukan maklumat rahsia bahawa ia meliputi seluruh anggota tubuh melainkan muka dan tangan.
“Jadi, dengan menyatakan bahawa seorang wanita (muslimah) tidak seharusnya dipaksa untuk bertudung adalah satu kenyataan boleh difahami sudah menafikan kewajipan untuk menutup aurat bagi seorang Muslimah,” katanya kepada Sinar Harian di sini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan aktivis itu yang dikatakan timbul apabila Maryam Lee Abdullah dalam pelancaran bukunya yang bertajuk Unveiling Choice disusuli satu forum membincangkan isu perempuan Melayu yang tidak lagi bertudung.
Menurutnya, memang dipersetujui bahawa kita tidak boleh memandang rendah dan serong terhadap Muslimah yang tidak bertudung.
Ini kerana, kemungkinan yang mendorongnya untuk tidak menutup aurat dengan sempurna berpunca dari pelbagai faktor sama ada kejahilan, tekanan sekitar dan sebab-sebab lain.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pasir Mas itu juga berkata, ia tidak pernah menafikan bahawa sebagai seorang Muslimah, menutup aurat dengan sempurna tetap menjadi kewajipan.
Sementara itu, Naib Presiden GPMS, Nik Saiful Adli Burhan menyarankan Latheefa segera bertaubat dan merujuk kepada ulama serta pakar pengajian tafsir Al Quran sebelum sewenang-wenangnya mempertikaikan hukum agama.
“Mengapa mempertikaikan peraturan pakaian yang ditetapkan oleh agama sedangkan kamu sendiri sebagai peguam tidak pernah mempersoalkan kewajipan peguam memakai suit hitam dan putih dalam mahkamah.
“Meskipun cuaca negara ini bukanlah dingin seperti di England sebagai negara yang memperkenalkan pakaian peguam sebegitu. Jika undang-undang dunia yang tidak masuk akal pun boleh dituruti, jangan pula kita cuba pertikaikan hukum ALLAH dan sunnah Rasul," katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.
Menurutnya, tafsiran 'tiada paksaan dalam Islam' perlu diperbetulkan kerana ia bukanlah bermaksud Islam agama bebas tanpa peraturan untuk dipatuhi.
Sebaliknya, Exco Pemuda Umno itu memberitahu, Islam adalah agama yang mengawal selia semua peraturan hidup, kerana itulah adanya dosa, pahala, syurga dan neraka.
“Jangan pula kita lupa pada dosa dan pahala. Semuanya juga termaktub dalam Islam. Jika seseorang itu masih berat untuk memakai tudung, maka, ajarlah mereka untuk segera bertudung.
“Kepada mereka yang sudah bertudung, kawallah diri daripada anasir-anasir seperti ini, syaitan amat sukakan pengaruh seperti ini, maka berhati-hatilah dan cekalkan diri,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!