[VIDEO] Pasangan suami isteri didakwa simbah cat merah

Chern Yong (dua dari kanan) dan Siew Wei (empat dari kanan) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kulai atas tuduhan melakukan khianat dengan menyimbah cat merah.
Chern Yong (dua dari kanan) dan Siew Wei (empat dari kanan) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kulai atas tuduhan melakukan khianat dengan menyimbah cat merah.
A
A
A

KULAI - Pasangan suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas tuduhan melakukan khianat dengan menyimbah cat merah pada pintu pagar dan halaman sebuah rumah, pada tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Yaw Chern Fong, 26, dan isterinya, Phang Siew Wei, 44, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa melakukan khianat dengan menyimbah cat merah pada pintu pagar dan halaman rumah milik seorang wanita membabitkan kerugian kira-kira RM200.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Jalan Sentosa 10, Taman Sentosa di sini, kira-kira jam 7.30 pagi, 30 Disember lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya Edelynn Wong manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam P Thomasjayaraj.

Edelynn memberitahu mahkamah perbuatan dilakukan tertuduh merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin selain bimbang kedua-dua tertuduh akan mengganggu mangsa jika dibenarkan ikat jamin.

Namun, sekiranya mahkamah ingin membenarkan ikat jamin, pendakwaan meminta wang jaminan sebanyak RM20,000 setiap seorang.

Artikel Berkaitan:

P Thomasjayaraj kemudiannya memohon jaminan yang lebih rendah memandangkan tertuduh mempunyai tanggungan iaitu empat orang anak yang masih kecil.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis terdekat sebulan sekali.

Kes ditetapkan pada 21 Februari depan bagi sebutan semula kes.

Pada 11 Januari lalu, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow melaporkan seorang wanita antara tiga individu yang ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan mengambil upah daripada ah long untuk melakukan khianat dengan api serta menyimbah cat di rumah peminjam wang sekitar daerah ini.

Beng Yeow dilaporkan berkata, semua individu itu ditahan pada 10 Januari lalu dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Seri Alam, Iskandar Puteri dan Johor Bahru, antara jam 9 pagi hingga 2.30 petang.

Katanya, hasil soal siasat, semua suspek mengaku mengambil upah sehingga RM1,300 untuk menyimbah cat di dua rumah dan membaling molotov cocktail di sebuah rumah di daerah ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!