313 penguat kuasa JPJ terlibat Ops Tahun Baharu Cina di Pahang

Kamarul Iskandar (duduk, tengah)memerhati pemeriksaan ke atas tayar bas yang dijalankan penguat kuasa JPJ Pahang sempena Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Tahun Baharu Cina 2023 peringkat negeri Pahang di TSK pada Rabu.
Kamarul Iskandar (duduk, tengah)memerhati pemeriksaan ke atas tayar bas yang dijalankan penguat kuasa JPJ Pahang sempena Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Tahun Baharu Cina 2023 peringkat negeri Pahang di TSK pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 313 anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang ditugaskan dalam Operasi Penguatkuasaan Perayaan sempena Tahun Baharu Cina 2023 di negeri ini.

Pengarahnya, Kamarul Iskandar Nordin berkata, operasi bermula Rabu hingga 27 Januari turut melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa termasuk polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Menurutnya, sepanjang tempoh operasi itu, anggota penguat kuasa JPJ akan melakukan pemantauan di lokasi yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan di seluruh negeri.

"Terdapat 34 lokasi yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan di negeri ini dan perlu diberi perhatian.

"Pada masa sama, anggota penguat kuasa akan ditempatkan di terminal bas utama iaitu di Terminal Sentral Kuantan (TSK), Terminal Bas Temerloh dan Terminal Bas Cameron Highlands," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baharu Cina 2023 peringkat negeri Pahang di TSK di sini pada Rabu.

Kamarul Iskandar melakukan pemeriksaan ke atas bas ekspres yang akan memulakan perjalanan pada Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baharu Cina 2023 peringkat negeri Pahang di TSK pada Rabu.
Kamarul Iskandar melakukan pemeriksaan ke atas bas ekspres yang akan memulakan perjalanan pada Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baharu Cina 2023 peringkat negeri Pahang di TSK pada Rabu.

Kamarul Islandar berkata, selain itu, antara inisiatif yang dilaksanakan JPJ Pahang sepanjang operasi kali ini termasuk penyamaran sebagai penumpang dalam bas ekspres dan menjalankan Ops Khas Motosikal.

Artikel Berkaitan:

"Rondaan juga akan dijalankan di laluan rondaan Ops TBC 2023 iaitu di Lebuhraya Pantai Timur 1(LPT1), Jalan Kuantan-Kemaman, Jalan Kuantan-Gambang, Jalan Kuantan-Pekan, Jalan Kuantan-Temerloh, Jalan Temerloh-Jerantut, Jalan Bentong-Raub- Lipis-Lebuhraya CSR dan Jalan Kuantan-Segamat.

"Turut tersenarai sebagai laluan rondaan, Jalan Simpang Jengka-Bandar Pusat Jengka, Jalan Paloh Hinai-Bandar Pekan, Jalan Bukit Ibam-Muadzam.Shah-Kuala Rompin, Jalan Bahau-Keratong dan sekitar Cameron Highlands," katanya.

Beliau berkata, JPJ Pahang akan memberi tumpuan terhadap tujuh kesalahan lalu lintas utama iaitu memotong barisan, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju, guna telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang dan topi keledar dan memandu di laluan kecemasan.

"Semua kesalahan ini tidak boleh dikompaun sebaliknya pesalah akan dihadapkan ke mahkamah," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi had laju yang yang dikurangkan 10 kilometer perjam (km/j) yang dikuatkuasakan di jalan persekutuan dan negeri dalam tempoh operasi kali ini.

Kamarul Iskandar berkata, dalam operasi sama tahun lalu, sebanyak 269,623 kenderaan diperiksa dan 65,635 kenderaan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan dengan 94,684 saman dikeluarkan.

"Sebanyak 417 bas diperiksa dan empat kesalahan dikesan atas kesalahan merokok dan tidak selenggara buku log.

"Untuk operasi kali ini, JPJ Pahang telah mengadakan pra operasi Tahun Baharu Cina pada 14 hingga 17 Januari lalu dengan melakukan pemeriksaan ke atas 13 bas di depoh, bagaimanapun tiada kes kesalahan direkodkan setakat ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!