KPM digesa segera ganti wang BAP yang lesap - PIBGN

Laporan Sinar Harian pada Rabu. (Gambar kecil: Mohamad Ali)
Laporan Sinar Harian pada Rabu. (Gambar kecil: Mohamad Ali)
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa segera menggantikan Wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang lesap akibat disamun di Semenyih, Selangor pada Isnin sementara menunggu siasatan kes tersebut.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, pihak kementerian tidak perlu menunggu sehingga siasatan selesai bagi menggantikan wang terbabit untuk diagihkan kepada pelajar sekolah.

Menurutnya, seperti diketahui umum, golongan yang menerima bantuan itu adalah daripada keluarga susah, jadi adalah tidak adil kepada mereka sekiranya ditangguh dalam tempoh yang lama.

"Saya cadangkan KPM mendahulukan wang bantuan itu kerana ia sangat diperlukan oleh pelajar. Penantian dan harapan ibu bapa kepada bantuan yang dihulurkan kerajaan amatlah tinggi.

"Jangan pula kata hendak bagi tetapi mengambil masa yang lama, kesian pelajar-pelajar berkenaan sedangkan sekolah lain sudah menerimanya," katanya pada Rabu.

Sinar Harian melaporkan Menteri KPM, Fadhlina Sidek memberi jaminan bahawa murid yang sepatutnya menerima bantuan tersebut akan menerima wang berkenaan.

Dalam kejadian pada Isnin, wang bantuan awal persekolahan berjumlah lebih RM100,000 yang diperuntukkan untuk sebuah sekolah di Beranang, Selangor disyaki disamun penjenayah.

Wang dipercayai dikeluarkan dari sebuah bank oleh guru besar sekolah berkenaan di Pekan Semenyih pada jam 10 pagi itu sepatutnya diagihkan kepada pelajarnya pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Tambah Mohamad Ali, perkara itu perlu diberi perhatian dan tindakan serius agar ia tidak berulang.

"Apa sahaja alasan ( kecuaian pihak tertentu) perlu diambil tindakan seadil-adilnya dengan cepat dan tuntas.

"Siasatan rapi dan bebas selain laporan menyeluruh termasuk tindakan serta hukuman perlu siap dengan segera," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!