Pasangan kekasih ditahan disyaki edar dadah
KUANTAN - Pasangan kekasih ditahan polis kerana disyaki mendalangi kegiatan pengedaran dadah dalam serbuan di sekitar daerah ini pada Jumaat.
Suspek lelaki tempatan berusia 25 tahun bersama kekasihnya berusia 23 tahun dicekup di sebuah hotel bajet sekitar jam 12.30 tengah hari hingga 1 petang.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, penahanan suspek telah membawa kepada penemuan sebuah bilik sewa di Panching yang dipercayai menjadi tempat penyimpanan dadah.
"Susulan daripada pemeriksaan itu, kita telah berjaya merampas dadah jenis ganja sebanyak 1,967.1 gram, dadah jenis syabu sebanyak 279.1 gram, dan pil yaba sebanyak 14.35 gram.
“Turut dirampas sepucuk pistol model Zoraki M 906-TD mengandungi kelopak berisi lima butir peluru. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM41,635,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar di Bilik Anggerik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, pada Rabu.
Wan Zahari memaklumkan, siasatan awal mendapati, sindiket terbabit dipercayai mula aktif dalam kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah di sekitar daerah ini sejak awal tahun lalu.
Jelasnya, bekalan dadah juga dipercayai diperoleh di daerah ini.
Beliau menambah, hasil siasatan awal mendapati suspek lelaki adalah seorang penganggur serta mempunyai rekod jenayah lampau manakala suspek wanita berusia pula mempunyai rekod jenayah narkotik.
"Hasil ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati kedua-duanya negatif dadah. Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 14 hingga 20 Januari ini bagi membantu siasatan.
“Kedua-dua suspek berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39 A(1) ADB serta Seksyen 12(2) akta sama yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup.
“Manakala suspek lelaki berusia 25 tahun itu turut disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 14 tahun dan tidak kurang enam sebatan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Wan Zahari juga berkata, tangkapan terbabit merupakan kejayaan pertama dan terbesar Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang setakat tahun ini, sekali gus telah berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah untuk pasaran tempatan.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 1,525 orang penagih dadah. JSJN akan meneruskan siasatan untuk mengesan saki baki ahli sindiket untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!