Keputusan bebas atau bela diri Najib, Arul Kanda 3 Mac depan

Dari kiri: Najib, Arul Kanda
Dari kiri: Najib, Arul Kanda
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Keputusan sama ada Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy dibebaskan atau dipanggil membela diri atas pertuduhan meminda laporan audit 1MDB di Mahkamah Tinggi di sini yang ditetapkan pada 30 Januari ini, dijadualkan semula ke 3 Mac depan.

Menurut emel yang dihantar kepada pihak pendakwaan dan pembelaan, atas arahan Hakim Mohamed Zaini Mazlan, keputusan kes yang telah ditetapkan pada 30 Januari adalah dilapangkan dan semua pihak-pihak tidak perlu hadir pada tarikh terbabit.

Tarikh baharu untuk keputusan telah ditetapkan semula pada hari Jumaat jam 9.30 pagi awal bulan Mac ini.

Bagaimanapun, tiada alasan diberikan untuk penangguhan keputusan berkenaan.

Mengesahkan perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib ketika dihubungi media berkata, sebelum ini, mahkamah telah menetapkan tarikh 30 Januari selepas Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya mendengar hujahan lisan daripada pihak-pihak, pada 15 November lalu.

Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala pembelaan, peguam Tan Sri Shafee Abdullah mewakili Najib serta Datuk N Sivananthan bagi pihak Arul Kanda.

Pendakwaan menutup kesnya pada 7 September tahun lalu selepas memanggil 16 saksi bagi memberi keterangan dalam perbicaraan berlangsung selama 43 hari bermula 18 Februari 2019.

Sementara itu pada 24 Jun tahun lalu, mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan untuk memanggil Arul Kanda sebagai saksi bagi memberikan keterangan terhadap Najib mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan kemudian menawarkan 18 saksi kepada pembelaan, antaranya bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira Kira Wang Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Antara saksi utama dipanggil memberikan keterangan antaranya bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa; bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan Tan Sri Dr Madinah Mohamad.

Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan sivil atau jenayah berkaitan peranannya di dalam perjalanan operasi syarikat 1MDB.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa mengarahkan Laporan Pengauditan 1MDB dimuktamadkan Ketua Audit Negara, dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan semula dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), yang mana Najib secara langsung mempunyai kepentingan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib meminda laporan berkenaan bagi melindungi bekas Perdana Menteri itu untuk mengelak dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!