[VIDEO] Menteri diarah serius teliti Laporan Ketua Audit Negara

Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto Bernama
Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Menteri kabinet diarahkan agar serius meneliti Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2021 agar ia tidak berulang pada masa akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penelitian itu termasuklah perbelanjaan, ketirisan dan perolehan yang tidak menepati syarat serta peraturan.

"Laporan Ketua Audit Negara memberikan syor-syor tetapi kesilapan atau ketelanjuran sama diteruskan untuk tahun demi tahun," tegas Anwar menerusi sidang akhbar di Bangunan Perdana Putra di sini pada Rabu.

Menurutnya, laporan audit tersebut telah diterima oleh kabinet, namun belum dapat didedahkan.

"Saya percaya Jabatan Audit Negara akan umumkan dalam waktu sesuai dan dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang," katanya.

Anwar berkata, laporan tersebut penting bagi mengenal pasti masalah yang berlaku di dalam kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

"Kita beri peluang kepada badan-badan (agensi) untuk menjawab kerana kadangkala ia mempunyai jawapan munasabah," katanya.

Beliau berkata, penjawat awam diingatkan agar menjaga integriti dan kecekapan kerja yang utuh.

Artikel Berkaitan:

"Saya masih ingat sewaktu di Kementerian Pendidikan terdapat beberapa tuduhan berkaitan dengan penentuan harga buku teks, namun jika kes kecil mungkin kompaun atau amaran boleh dikeluarkan," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai teguran yang dibuat pegawai terhadap menteri dan pegawai atasan, Anwar berkata, ia haruslah menerusi saluran yang betul dan tidak boleh melalui media massa.

"Kita ada mekanisme dan pertemuan saban hari yang membolehkan pegawai boleh kemukakan pandangan.

"Sekiranya ia agak menyinggung, mungkin boleh jumpa secara berasingan," katanya.

Tambah Anwar, ketelanjuran dalam pentadbiran awam harus ditegur.

"Bersama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, saya selalu sebut sekiranya arahan saya itu mengikut peraturan dan sesuai, tolong nasihat," katanya.

Isnin lalu, pada perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri, Anwar meminta warga perkhidmatan awam membuat teguran terhadap Kerajaan Perpaduan sekiranya didapati melanggar tindakan undang-undang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!