Trafik Lebuhraya KLK, LPT 1 dijangka meningkat 50 peratus

Cadangan waktu perjalanan yang dikeluarkan Anih Berhad bagi mengurangkan kesesakan sepanjang tempoh cuti Tahun Baharu Cina kali ini.
Cadangan waktu perjalanan yang dikeluarkan Anih Berhad bagi mengurangkan kesesakan sepanjang tempoh cuti Tahun Baharu Cina kali ini.
A
A
A

KUANTAN - Syarikat Konsesi Lebuhraya Kuala-Lumpur Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1(LPT1), Anih Berhad menjangkakan peningkatan trafik harian lebih 50 peratus di kedua-dua lebuh raya itu sepanjang tempoh cuti perayaan Tahun Baru Cina kali ini.

Anih Berhad dalam kenyataannya berkata, peningkatan trafik di Lebuhraya KLK dijangka meningkat sehingga 71 peratus kepada 171,000 kenderaan dalam tempoh itu berbanding hari biasa kira-kira 100,000 kenderaan.

Menurutnya, di LPT1, peningkatannya dijangka sehingga 62 peratus kepada 73,000 kenderaan berbanding sekitar 45,000 kenderaan menggunakan lebuh raya itu pada hari biasa.

"Bagi menghadapi jangkaan peningkatan trafik di lebuh raya itu, Anih Berhad akan menempatkan 390 pekerja terdiri 273 operator tol dan 117 lain-lain bahagian.

"Pasukan trafik dan anggota Rela akan ditempatkan di bahu jalan kira-kira 10 meter selepas lorong plaza tol arah barat bagi menguatkuasakan larangan menunggu di kawasan itu pada waktu puncak," katanya.

Tambahnya, kemudahan tambah nilai kad Touch 'n' Go (TnG) 24 jam disediakan di dua lorong Plaza Tol Gombak dan Bentong hanya untuk pengguna kekurangan baki sahaja.

"Sekiranya berlaku kes baki kad TnG pengguna tidak mencukupi ketika trafik puncak di lorong lain, petugas tol akan menggunakan kad apungan yang disediakan di lorong berkenaan bagi melancarkan proses transaksi," katanya.

Sementara itu, Anih Berhad menasihatkan pengguna agar merancang perjalanan mengikut saranan cadangan waktu perjalanan yang dikeluarkan bagi mengurangkan kesesakan.

Artikel Berkaitan:

"Pengguna diminta memastikan baki kad TnG, e-Wallet dan SmartTag mencukupi sebelum memulakan perjalanan bagi mengelak timbul masalah.

"Bagi mendapat informasi tepat dan terkini, pengguna boleh mengikuti saluran Anih TV dan media sosial rasmi di Facebook (@Lebuhraya Pantai Timur) dan Twitter (@LPTTrafik) serta Lembaga Lebuhraya Malaysia di Twitter (@llmtrafik) dan Facebook (@Lembaga Lebuhraya Malaysia).

"Untuk sebarang kecemasan, sila hubungi LPT - Line di talian 1-700-818-700 atau LLM di talian 1800-88- 7752," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!