Angkasawan wanita NASA bakal catat misi paling lama di angkasa lepas
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Seorang angkasawan Pentabiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) bakal mencatatkan rekod misi angkasa lepas paling lama dilakukan oleh wanita apabila misinya di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) dilanjutkan sehingga 11 bulan.
Christina Koch, 40, tiba di ISS pada 14 Mac lalu bersama dua lagi angkasawan, Nick Hague dan Alexey Ovchinin masing-masing dari Amerika Syarikat (AS) dan Rusia bagi menjalani misi angkasa lepas selama enam bulan.
Menurut Nasa, dua angkasawan terbabit akan pulang ke Bumi pada 3 Oktober namun misi Koch akan dilanjutkan sehingga Februari 2020, sekali gus memecahkan rekod yang dipegang seorang lagi angkasawan wanita, Peggy Whitson yang tinggal selama 288 hari di ISS pada tahun 2016-2017.
"Ini merupakan satu impian yang menjadi kenyataan dan ia perasaan yang sangat hebat," kata Koch setelah diberitahu misinya bakal dilanjutkan.
Sementara itu, ketua saintis Program Penyelidikan Manusia NASA, Jennifer Fogarty berkata misi lanjutan Koch akan memberikan data tambahan tentang kesan penerbangan angkasa lepas jangka panjang terhadap tubuh manusia selain menyokong misi akan datang ke Bulan dan Marikh.
Rekod misi angkasa lepas paling lama dipegang angkasawan Rusia Valery Polyakov yang menghabiskan masa 14 bulan di stesen angkasa Mir pada 1994-1995. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!