Tiga penjawat awam terima rasuah ditahan SPRM
LABUAN - Tiga penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Labuan selepas disyaki menerima rasuah bagi setiap urusan pengeluaran lesen Kapal Kecil Berlesen Sabah.
Semua suspek berusia antara 50 hingga 60 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Labuan, kira-kira jam 12 tengah hari Rabu.
Menurut sumber, kesemua suspek bertugas di sebuah jabatan di Kota Kinabalu dan Lahad Datu disyaki telah menerima wang rasuah kira-kira RM3,000 sehingga RM5,000 daripada syarikat operator pelancongan antara 2017 hingga 2019.
Wang itu adalah bagi urusan setiap pengeluaran lesen Kapal Kecil Berlesen Sabah untuk penambahan penumpang melebihi 12 orang tanpa mengikut prosedur permohonan penambahan penumpang yang sebenar.
Sementara itu, Pengarah SPRM Labuan, Datu Robbyie Shym Datu Pindatun ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
"Ketiga-tiga suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Labuan esok bagi tujuan permohonan reman," katanya pada Rabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!