Laksana segera peraturan kawalan industri vape
SHAH ALAM - Kerajaan digesa segera melaksanakan peraturan kawalan industri vape bagi memastikan produk berkenaan tidak dipromosi dan dibeli oleh golongan bawah umur.
Presiden Persatuan Rokok Elektronik Runcit Malaysia (MRECA), Datuk Adzwan Ab Manas berkata, tindakan menjual peranti yang mampu menarik minat golongan bawah umur adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.
"Peranti vape adalah untuk kegunaan orang dewasa, terutamanya kepada perokok tegar dalam usaha berhenti merokok.
"Oleh itu, peranti itu tidak patut kelihatan menarik minat golongan bawah umur dengan menggunakan karakter kartun," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tular di media sosial suatu produk vape yang berbentuk kartun dijual di pasaran dibimbangi boleh menarik minat golongan bawah umur.
“Sebagai peniaga dan usahawan, kita harus menjalankan perniagaan dengan penuh tanggungjawab supaya produk tidak menarik minat golongan bawah umur dan memastikan ia hanya terjual kepada pengguna dewasa,” katanya.
Adzwan berkata, pihak industri telah memberikan kata putus kepada pembekal supaya menghentikan penjualan produk tersebut dan produk-produk itu perlu ditarik balik dari pasaran.
“Peniaga dan pembekal harus membuat tapisan produk sebelum menjual dan memastikan ia bukanlah satu produk yang boleh menarik minat golongan bawah umur.
"Jika ada yang berdegil serta masih menjual produk sedemikian, tindakan harus diambil supaya produk ini tidak kekal dalam pasaran tempatan.
“Pada masa sama, kerajaan juga perlu memperkenalkan peraturan dengan segera untuk mengawal selia industri vape. Dengan adanya peraturan, satu garis panduan akan diberikan kepada industri mengenai apa-apa aktiviti yang terlarang," katanya.
Tambah beliau, pada akhir 2021 kerajaan telah mengumumkan percukaian ke atas cecair vape bernikotin akan dilaksanakan sebagai langkah kawal selia dan peraturan juga akan diperkenalkan mengawal industri vape.
"Bagaimanapun, pelaksanaannya telah ditangguhkan sehingga hari ini.
"Oleh itu, diharap kerajaan boleh mengeluarkan peraturan secepat mungkin supaya industri mempunyai hala tuju dan memastikan produk dapat dikawal,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!