Sindiket minta RM2,000 daripada PATI
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dimaklumkan sindiket meminta RM2,000 sebagai bayaran untuk membawa masuk setiap Pendatang Tanpa Izin (PATI) warga Bangladesh ke negara ini.
Perkara itu didedahkan Komander Kompani Batalion B, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Perak, Deputi Superintendan M Joeking dalam prosiding pendengaran awam RCI berhubung penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis.
Joeking berkata, daripada 38 tangkapan dibuat, salah seorang boleh berbahasa Melayu dan Inggeris.
"Jadi kami gunakan dia untuk dapatkan maklumat lanjut," katanya.
Menurutnya, lelaki itu berkata, PATI dibawa masuk menerusi kapal dan berjalan memasuki penempatan.
"Setelah masuk, sindiket meminta bayaran tambahan untuk melepaskan PATI kononnya bagi mendapatkan pekerjaan," katanya.
Beliau berkata, kesemua PATI berada dalam keadaan lemah, lapar dan keletihan.
"Saya memberi mereka air minuman dan roti sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah Padang Besar," katanya menjawab soalan daripada Pegawai Pengendali, Khairul Anuar Abd Halim.
Pada prosiding itu, Ahli RCI yang juga Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) Tan Sri Razali mencadangkan bahawa pasukan yang dipimpin Joeking gagal dalam operasi tersebut kerana tiada orang yang sepatutnya ditangkap tidak ditangkap.
Razali: Kamu sebenarnya bukan tangkap (38 individu), tetapi sebenarnya menyelamatkan mangsa?
Saksi: Senyap dan tiada jawapan
Razali: Kamu tidak tangkap seorang pun yang sepatutnya ditangkap.
Saksi: Kita tidak dapat maklumat adanya aktiviti pemerdagangan manusia di situ, tetapi kita hanya tahu ada PATI sahaja.
Setelah operasi selesai, barulah saya tahu ia mungkin pemerdagangan manusia.
Prosiding hari kedua sedang berlangsung di hadapan tujuh panel yang dipengerusikan oleh Tun Ariffin Zakaria.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!