Malaysia sasar jadi destinasi pelaburan rantau Asia
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Malaysia menyasarkan menjadi destinasi pelaburan utama di rantau Asia dengan mengalu-alukan kemasukan pelaburan asing dalam negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, KPDN akan meliberisasikan polisi dasar penyertaan asing dalam sektor perdagangan dan perkhidmatan pengedaran di Malaysia untuk menjadikannya lebih mesra pelabur.
Menurutnya, KPDN telah meluluskan 360 permohonan pelabur asing dan sektor restoran merupakan penyumbang tertinggi.
"Jumlah terkumpul modal berbayar dibawa masuk Malaysia oleh syarikat asing pada tahun 2021 adalah sebanyak RM8.952 bilion dengan Korea Selatan adalah antara pelabur yang paling banyak menjalankan perniagaan dalam sektor ini.
"Saya yakin sepenuhnya bahawa lebih banyak syarikat asing akan melabur dan membuka syarikat mereka di Malaysia," katanya pada perasmian pembukaan bakeri Paris Baguette pada Rabu.
Pada perkembangan sama beliau berkata, kerajaan akan menghapuskan harga siling ayam dan telur dalam tempoh terdekat selepas bekalan asas itu kembali stabil.
"Hasil daripada laporan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, bekalan ayam telah pulih sepenuhnya dan bekalan telur dijangka pulih dalam tempoh tiga bulan lagi.
"Sekarang hanya tunggu masa untuk harga siling diangkat semula. Kerajaan telah terlalu lama mengapungkan harga bekalan tersebut iaitu lebih setahun.
"Sudah tiba masa kerajaan angkat harga siling tersebut dan kini hanya tunggu masa diputuskan oleh kabinet," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!