Polis Kelantan rampas ketum, pil kuda

Mohd Haki (tengah) menunjukkan air dan daun ketum yang dirampas dalam Operasi Khas Perang dan Tawan di Felda Kemahang 1, Kemahang 2 dan Kemahang 3 bermula Isnin.
Mohd Haki (tengah) menunjukkan air dan daun ketum yang dirampas dalam Operasi Khas Perang dan Tawan di Felda Kemahang 1, Kemahang 2 dan Kemahang 3 bermula Isnin.
A
A
A

TANAH MERAH - Polis merampas 231 pil kuda, 20.4 kilogram daun ketum dan 55.6 liter air ketum dalam Operasi Khas Perang dan Tawan Gugusan Felda Kemahang bermula Isnin.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, turut dirampas ialah 100 mililiter kodein dengan nilai keseluruhan kira-kira RM3,000.

Beliau memberitahu, dalam operasi tiga hari itu, seramai 39 ditahan membabitkan pelbagai kesalahan.

"Polis turut mengeluarkan 68 saman atas pelbagai kesalahan.

"Selain itu dua lelaki yang dikehendaki berkaitan kes curi kelapa sawit dan seorang lagi melibatkan kes mendatangkan kecederaan ditahan" katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah pada Rabu.

Menurut beliau, operasi khas itu bertujuan menghapuskan aktiviti jenayah dan dadah termasuk curi kelapa sawit.

"Kita juga mengadakan program kemasyarakatan serta ceramah dan kempen kesedaran bersama pemimpin setempat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Haki memaklumkan identiti mayat seorang lelaki yang ditemukan di Bukit Bunga belum dapat dikenal pasti.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, Mayat dengan empat kesan tembakan ditemui penduduk pada 1 Januari lalu.

"Hebahan sudah dilakukan di semua balai polis seluruh negara termasuk Thailand tetapi masih belum menerima sebarang maklumat," katanya.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Nazri Mohd Yusof di talian 011-9640669 atau IPD Tanah Merah di talian 09-9556222.

Mayat seorang lelaki ditemui tersangkut pada sebatang pokok di Pangkalan Haram Belakang Berek 12, Bukit Bunga ditemukan jam 3 petang 1 Januari lalu.

Pemeriksaan mendapati keadaan mayat sudah mereput dengan empat kesan tembakan pada tempurung kepala.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!