Tular ceroboh rumah, polis tingkatkan rondaan
TELUK INTAN - Polis telah meningkatkan rondaan pencegahan jenayah di sekitar kawasan perumahan Taman Seri Idaman di sini susulan dua kes pencerobohan yang berlaku pada Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, rondaan itu antara langkah bagi memastikan kejadian sama tidak berulang terutama pada musim perayaan Tahun Baharu Cina ini.
Menurutnya, dalam kejadian itu, dua rumah terletak bersebelahan telah diceroboh seorang lelaki yang bertindak menyelongkar pekarangan rumah dan kenderaan yang diletakkan tidak berkunci.
"Kedua-dua pemilik rumah telah membuat laporan polis hari ini (Rabu) dan semakan mendapati, kejadian berlaku pada awal pagi.
"Bagaimanapun mangsa tidak mengalami sebarang kerugian dan tiada sebarang kehilangan dilaporkan," katanya kepada pemberita pada Rabu.
Beliau berkata, siasatan lanjut kes itu dijalankan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan jenayah.
Katanya, orang ramai juga diingatkan agar mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan mengunci kenderaan dan tidak meninggalkan barang berharga dalam kenderaan yang ditinggalkan.
"Rondaan pencegahan juga akan ditingkatkan di semua kawasan perumahan khasnya pada musim perayaan," katanya.
Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian itu tular di media sosial yang antara lain menggesa polis meningkatkan kawalan di kawasan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!