Rafiq ungguli acara Masters Boling Asia

Rafiq meraih pingat emas dalam acara Masters. - Foto FB Bowling Malaysia.
Rafiq meraih pingat emas dalam acara Masters. - Foto FB Bowling Malaysia.
A
A
A

JAGUH boling negara, Muhammad Rafiq Ismail berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya meneruskan aksi cemerlang dengan mengungguli acara Masters lelaki pada Kejohanan Boling Asia (ATBC) ke-26 pada Rabu.

Pada aksi yang berlangsung di Pusat Boling Persatuan Olahraga China Selatan, Hong Kong, atlet berusia 25 tahun itu berjaya membuat jatuhan pin tertinggi sebanyak 488, sekali gus mengetepikan cabaran atlet Korea Selatan Park Geonha yang hanya meraih 450 jatuhan pin untuk tempat kedua.

Seorang lagi atlet Korea Selatan Ji Geun meraih pingat gangsa selepas tewas kepada Muhammad Rafiq pada aksi separuh akhir.

Terdahulu, Muhammad Rafiq berjaya menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik bagi kedua-dua blok perlawanan untuk menempah slot ke separuh akhir.

Pada Isnin lepas, Muhammad Rafiq membantu skuad negara mencipta sensasi apabila menyapu bersih acara All Event lelaki dengan beliau membuat jatuhan pin tertinggi sebanyak 6,128 bagi meraih emas, diikuti rakan sepasukan Timmy Tan yang memenangi perak dengan 6,073 jatuhan pin.

Gangsa pula menjadi milik Tun Hakim Tun Hasnul Azam yang mengumpul 5,954 jatuhan pin, manakala skuad negara turut mengisi kedudukan keempat dan kelima masing-masing menerusi Ahmad Muaz Fishol (5,938) dan Syafiq Ridhwan Abdul Malek (5,850).

Muhammad Rafiq, 25, turut membantu rakan sepasukan Syafiq Ridhwan, Mohd Syazirol Shamsudin, Tun Hakim, Timmy dan Ahmad Muaz, meraih pingat emas acara lelaki lima berpasukan dengan melakukan 7,323 jatuhan pin.

Kemenangan itu menyaksikan skuad negara menutup cabaran di Hong Kong dengan membawa pulang empat emas, lima perak dan tiga gangsa, sekali gus gagal mengulangi kejayaan ATBC 2019 di Kuwait apabila Malaysia muncul juara keseluruhan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!