Integriti, tata kelola baik tonggak utama kerajaan

Fadillah menandatangani plak Perasmian Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah 2022 pada Majlis Penyampaian Anugerah Integriti Governans dan Antirasuah (AIGA) di Institut Integriti Malaysia hari ini. - Foto Bernama
Fadillah menandatangani plak Perasmian Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah 2022 pada Majlis Penyampaian Anugerah Integriti Governans dan Antirasuah (AIGA) di Institut Integriti Malaysia hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Penekanan kepada nilai integriti dan tata kelola yang baik dalam pentadbiran organisasi adalah antara tonggak utama kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Justeru, beliau berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dengan segala bentuk rasuah dan penyelewengan ketika negara sedang dalam fasa penyusunan semula (reformasi) dan pembaharuan.

Beliau berkata, amalan ketelusan dan kebertanggungjawaban dapat menjamin kemakmuran dan kesejahteraan negara serta rakyat.

"Kerajaan hari ini juga komited untuk menerapkan nilai integriti dan tadbir urus yang baik dalam rangka kerja masyarakat. Kedua-dua komponen itu saling melengkapi antara satu sama lain.

"Kekurangan salah satu daripadanya akan menyebabkan kepincangan ekosistem pengurusan sesebuah organisasi, syarikat dan negara,” katanya pada Majlis Penyampaian Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2022 di Institut Integriti Malaysia (IIM) di sini hari ini.

Fadillah menyeru anggota perkhidmatan awam, pihak industri dan masyarakat menukar pendekatan pengurusan masing-masing agar selaras dengan budaya tata kelola baik yang ingin ditekankan oleh kerajaan iaitu akauntabiliti, ketelusan dan integriti.

"Ini kerana negara tidak akan berupaya 'melangkah' lebih jauh sekiranya sektor awam, swasta dan seluruh masyarakat tidak berganding bahu dalam usaha meningkatkan integriti dan menolak sekeras-kerasnya rasuah di Malaysia," katanya.

Beliau berkata, penolakan rasuah secara total dan tahap integriti tertinggi hanya akan tercapai apabila semua pihak memainkan peranan dan tidak memberi ruang langsung untuk gejala itu menular.

Artikel Berkaitan:

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi seterusnya meminta organisasi korporat untuk turut komited meningkatkan penerapan nilai integriti dan tata kelola baik melalui pengukuhan sistem kawalan dalaman serta aktiviti yang menyokong kepada usaha pencegahan rasuah.

Menurutnya, gandingan integriti dan tata kelola yang baik mampu menjana produktiviti sesebuah syarikat dan memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, integriti bukan sekadar mengekang jenayah rasuah malah turut merangkumi amalan budaya kerja cemerlang.

Sementara itu, beliau berkata, peranan dan fungsi IIM akan terus diperkukuhkan sesuai dengan keperluan negara susulan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) pada 19 September lepas berhubung penilaian semula hala tuju institut tersebut.

Menyentuh mengenai AIGA 2022, Fadillah berharap ia dapat menjadi pencetus dan penanda aras kepada semangat baharu negara dalam meningkatkan tahap integriti, tata kelola dan antirasuah bagi sektor awam dan pengurusan swasta.

Pada majlis Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Platinum AIGA 2022 manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia; Johor Port Berhad; Tenaga Nasional Berhad dan Northport Berhad dipilih sebagai penerima Anugerah Emas utama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!