Zii Jia tewaskan pemain Indonesia di Terbuka India
PEMAIN badminton profesional Malaysia, Lee Zii Jia beraksi dengan baik untuk menewaskan pemain dari Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito pada kejohanan badminton Terbuka India 2023, di sini hari ini.
Zii Jia yang kalah dalam set pertama berjaya untuk bangkit dan mengungguli dua set berikutnya dalam perlawanan yang berlangsung selama 63 minit, yang berakhir dengan keputusan 20-22, 21-19, 21-12 di gelanggang KD Jadhav Indoor Hall.
Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Zii Jia berkata, beliau gembira dengan kemenangan itu, yang menyusul selepas beliau mengalami kekalahan mengejut dalam pusingan pertama Terbuka Malaysia baru-baru ini.
"Saya sedang berusaha mengembalikan prestasi terbaik saya secepat mungkin,” kata pemain berumur 25 tahun itu, dan menambah sokongan peminat kepadanya di kejohanan Terbuka India itu amat menakjubkan.
Sementara itu beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi berjaya menewaskan pasangan Jepun, Akira Koga-Taichi Saito 21-15, 21-15 dalam masa 39 minit.
Untuk pusingan kedua esok, pasangan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dijadualkan bertemu dengan pemenang dalam perlawanan antara beregu Perancis, Christo Popov-Toma Junior Popov dan beregu Thailand, Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren.
Sementara itu beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang terkandas dalam pusingan pertama Terbuka Malaysia sebelum ini pula, berjaya menumpaskan pasangan tuan rumah Ashwini Bhat-Shikha Gautam dengan 21-8, 21-11.
Dalam satu lagi saingan perseorangan lelaki, pemain negara Ng Tze Yong tumpas kepada pemain China, Li Shi Feng dengan 19-21, 14-21. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!