Suami 'pergi' tiba-tiba, Nadzirah bangkit demi anak

Nadzirah menunjukkan kasut yang dijual di rumah keluarganya.
Nadzirah menunjukkan kasut yang dijual di rumah keluarganya.
A
A
A

RANTAU PANJANG - "Saya tidak mahu terlalu memikirkan kehilangannya dan fokus meneruskan kehidupan bersama anak," kata bekas pekerja kilang elektronik, Nadzirah Kamaruzzaman, 29, yang kematian suami lebih sebulan lalu.

Nadzirah mengambil keputusan berhenti kerja di Shah Alam, Selangor dan pulang ke rumah keluarganya di Kampung Kubang Kuar di sini untuk menjual kasut terpakai selepas suaminya, Allahyarham Mohamad Hafiz Sohani meninggal dunia akibat mati mengejut.

Berkongsi kisahnya, Nadzirah memberitahu, pada malam 31 November, dia menerima panggilan telefon yang memaklumkan Mohamad Hafiz mengalami sawan dan tidak sedarkan diri.

Bagaimanapun katanya, ada rakan yang membantu dan suaminya boleh bercakap seperti biasa sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

"Saya berada di rumah bersama anak kami, Mohd Faeq Mikael Mohd Hafiz, yang ketika itu berusia tiga bulan kerana bekerja shif pagi.

"Kira-kira jam 1 pagi, adik lelaki saya datang ke rumah dan memaklumkan suami saya meninggal dunia. Luruh jantung mendengarnya kerana dia tiada penyakit selama kami saling mengenali," katanya.

Nadzirah tidak mengambil masa panjang kerana memikirkan anak yang masih kecil dengan terus berhenti kerja dan pulang ke kampung.

"Alhamdulillah, ALLAH SWT permudahkan kehidupan kami dua beranak selepas adik saya, Mohd Baharizi Kamaruzzaman mencadangkan menjual kasut berjenama terpakai," katanya ketika lawatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di rumah keluarganya pada Rabu.

Wan Izani ( tengah) menyampaikan sumbangan kepada Nadzirah.
Wan Izani ( tengah) menyampaikan sumbangan kepada Nadzirah.

Lebih mengharukan katanya, modal untuk membeli kasut hasil daripada sedekah rakan-rakan dan keluarga yang tidak pernah putus.

Nadzirah yang berpengalaman menjual beberapa produk lain sebelum ini memberitahu, jualannya kini sudah dikenali penduduk setempat dan ada yang singgah untuk membeli dan mencadangkan supaya menambah jenis kasut.

Dia juga berhasrat menjualnya melalui dalam talian dibantu adik.

Ibu muda itu juga memberitahu, tiada yang dimahukan dalam hidup selain membesarkan anaknya dengan sokongan dan kasih sayang keluarga.

Sementara itu Timbalan Pengarah Perkeso negeri, Wan Izani Wan Isa berkata, Nadzirah layak menerima pencen penakat sebanyak RM1,746 sebulan seumur hidup.

"Anak Nadzirah turut layak menerima syer pencen itu sehingga berusia 21 tahun.

Menurut beliau, sebelum itu Skuad Perkeso Prihatin mengunjungi Nadzirah selepas menerima maklumat daripada orang awam dan memaklumkan layak menerima faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!