Malaysian Tigers perlu lebih garang
JENTERA serangan skuad hoki negara dituntut untuk mempamerkan rentak lebih garang dalam aksi terakhir Kumpulan C Piala Dunia 2023 menentang New Zealand di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India pada Khamis.
Berdasarkan aksi menentang Chile di Stadium Hoki Birsa Munda, Rourkela pada Isnin lalu, skuad bimbingan Arul Selvaraj mensia-siakan 13 pukulan sudut penalti yang seharusnya diterjemahkan dalam bentuk jaringan.
Justeru, pengurus Malaysian Tigers, Datuk Mirnawan Nawawi berharap setiap peluang untuk menjaringkan gol terutamanya menerusi pukulan sudut penalti perlu diterjemahkan dengan sebaik mungkin oleh barisan pemain negara.
“Peluang untuk menghasilkan gol sama ada menerusi gol padang atau pukulan sudut penalti adalah sama penting. Manfaatkan peluang yang diperoleh dengan jaringan.
“Setiap pemain diingatkan berdisiplin sepanjang perlawanan berlangsung dan melaksanakan taktikal jurulatih, sama ada ketika menyerang mahupun bertahan, itu amat penting.
“Pemain-pemain juga perlu bekerja keras sepanjang 60 minit perlawanan itu nanti. Setiap perlawanan Piala Dunia memang sengit dan bukan mudah,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Rekod sepanjang 25 pertemuan antara kedua-dua pasukan sejak kali pertama bertemu pada 1975 memihak kepada New Zealand yang mencatatkan 13 kemenangan.
Malaysia pula hanya mampu meraih enam kemenangan ke atas New Zealand dan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri enam kali.
Melihatkan rekod tersebut, Mirnawan sedar bahawa aksi menentang New Zealand bukan mudah, namun beliau percaya tidak mustahil buat Malaysian Tigers melakar keputusan positif.
“Saya harap semua yang terlibat dalam situasi pukulan sudut penalti harus pastikan ia dimanfaatkan sebaiknya. Tidak kira siapa yang diberi tanggungjawab oleh jurulatih, ia perlu dapatkan gol.
“Harus fokus dan pastikan jalankan tugas dengan berkesan. Peluang (pukulan sudut penalti) bukan banyak, lebih-lebih lagi pada tahap seperti Piala Dunia ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mirnawan berkata, pengganti Shahril Saabah yang mengalami kecederaan hamstring masih belum diputuskan, sama ada menurunkan Shahmie Irfan Suhaimi atau Tengku Nasrul Ikmal Hakimie Tengku Abd Rahim.
“Apa yang paling penting kita masih berada di landasan yang positif dalam Kumpulan C, tiga mata berharga sudah dicapai dalam misi kita untuk layak ke pusingan seterusnya,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!