Hukuman batal lesen jurulatih bola tampar undang pelbagai reaksi
BARU-BARU ini, Merak Jalanan ada ditanya oleh seorang rakan perihal berita jurulatih bola tampar yang terlibat dalam insiden menampar dua pemainnya pada Kejohanan Bola Tampar Bawah 14 Tahun di Kota Tinggi, Johor sehingga tular di media sosial.
Ikutkan Merak Jalanan agak keberatan nak buka mulut, takut nanti timbul macam-macam persepsi lagi. Lagipun semuanya sudah tahu yang mana Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) telah membatalkan lesen jurulatih berkenaan.
Ini bermakna, jurulatih berkenaan yang juga seorang guru tidak lagi dibenarkan menjadi jurulatih sukan bola tampar termasuk jurulatih untuk murid sekolah. Dengan kata lain - individu terbabit tidak akan lagi bergelar jurulatih bola tampar.
Bila ditanya rakan Merak Jalanan tadi, wajarkah hukuman seumpama itu dibuat ? Merak Jalanan terdiam seketika. Bukan apa, cuma mahu mencari ‘ayat sesuai’ untuk tidak menimbulkan sebarang kenyataan berbaur kontroversi.
Secara peribadi, Merak Jalanan katakan kepadanya, hukuman itu ada pro dan kontra. Itu juga ditimbulkan ramai pihak di luar sana. Ada bersetuju dengan hukuman yang dikenakan itu, malahan ada juga yang tidak bersetuju.
Bagi yang bersetuju, mereka menganggap kes seumpama itu tidak seharusnya berlaku di negara ini. Kata mereka, banyak lagi cara untuk melatih seseorang pemain atau atlet dan bukannya dengan menggunakan tangan untuk membimbing.
Bagi yang tidak bersetuju, hukuman itu yang dianggap agak keras dan keterlaluan kerana situasi itu boleh diselesaikan dengan cara baik tanpa perlu ‘mengorbankan’ karier guru berkenaan sebagai jurulatih bola tampar.
Apa sekalipun pandangan, Merak Jalanan percaya insiden seumpama itu membuka mata banyak pihak. Ia menjadi pengajaran kepada semua pemegang taruh - tidak kira kepada atlet, jurulatih mahupun persatuan sukan kebangsaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!