Rosmah hadir ke prosiding kes SRC Najib

Rosmah bersama pengiringnya memasuki Istana Kehakiman pada jam 9.30 pagi. - Foto Sinar Harian
Rosmah bersama pengiringnya memasuki Istana Kehakiman pada jam 9.30 pagi. - Foto Sinar Harian
A
A
A

PUTRAJAYA - Kelibat Datin Seri Rosmah Mansor dilihat memasuki pintu masuk utama Istana Kehakiman, Presint 2 pada Khamis jam 9.30 pagi.

Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu dilihat tenang ketika hadir bagi mendengar prosiding permohonan terakhir Najib berhubung semakan semula keputusan sabitan, hukuman dan denda yang dikenakan terhadapnya berhubung penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd pada Khamis.

Pada Khamis, kenderaan yang dipercayai membawa bekas Ahli Parlimen Pekan itu dilihat tiba pada Khamis jam 8.50 pagi di Istana Kehakiman, Presint 2.

Sementara itu, sekumpulan penyokong dilihat berada di pekarangan Istana Kehakiman sejak jam 7.40 pagi lagi bagi memberi sokongan terhadap Najib.

Pihak keselamatan juga terus memperketatkan kawalan di dalam dan luar mahkamah sebagai langkah berjaga-jaga.

Pada 21 Oktober 2022, Sinar Harian melaporkan, Mahkamah Persekutuan menetapkan 19, 20 dan 26 Januari untuk mendengar permohonan Najib bagi menyemak sabitan dan hukuman kes tersebut.

Najib yang kini berusia 70 tahun, sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan, hukuman dan denda pada 23 Ogos tahun sama.

Beliau melalui Tetuan Shafee & Co memfailkan permohonannya pada 6 September 2022, memohon supaya keputusan Mahkamah Persekutuan itu yang mengesahkan sabitan, hukuman dan denda disemak semula.

Artikel Berkaitan:

Beliau memohon mahkamah menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonannya untuk mengemukakan bukti berkaitan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, hakim perbicaraan dalam kes membabitkan dana SRC International yang dihadapinya.

Pada 28 Julai 2020, Mohd Nazlan telah mendapatinya bersalah atas tujuh pertuduhan, iaitu tiga pecah amanah, tiga pengubahan wang haram dan satu salah guna kuasa.

Mohd Nazlan yang kini menjadi hakim Mahkamah Rayuan, telah menjatuhi hukuman dan denda itu terhadap Najib malah keputusannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021.

Pemimpin UMNO itu memohon agar rayuannya didengar semula oleh panel baharu hakim Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada sekurang-kurangnya tujuh hakim dan beliau diberi penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu pendengaran permohonan semakannya itu.

Pihak pendakwaan, dalam afidavit jawapan yang difailkan melalui Mohd Ashrof, menyatakan permohonan semakan Najib itu tidak mempunyai merit dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!