Inter pertahan Piala Super Itali
INTER Milan mengekalkan kejuaraan Piala Super Itali selepas Edin Dzeko mencetus inspirasi kepada pasukannya melakar kemenangan 3-0 ke atas AC Milan pada Khamis.
Dzeko tampil cemerlang dalam perlawanan tersebut apabila melakukan hantaran kepada Federico Dimarco pada minit ke-10 untuk gol pertama sebelum dia menggandakan kedudukan 11 minit kemudian.
Lautaro Martinez kemudian meledak gol ketiga pada minit ke-77 untuk mengesahkan kejuaraan buat pasukan gergasi Itali itu.
"Kami mempamerkan persembahan yang hebat, pemain-pemain cemerlang dari minit pertama sehingga wisel penamat.
"Kami memenangi Piala Super musim lalu. Saya sangat gembira kerana kami membawa pulang satu lagi trofi dan harap akan ada lebih banyak lagi pada masa hadapan," kata Dzeko.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Antarabangsa King Fahd di Riyadh itu disifatkan luar dari kebiasaan kerana dilangsungkan di luar Itali, namun ia tidak menghalang peminat Inter meraikan kejayaan itu.
Dalam pada itu, pengendali AC Milan, Stefano Pioli mengakui pasukannya melakukan banyak kesilapan sekali gus menyukarkan mereka mengubah perlawanan apabila ketinggalan.
"Kami tidak dapat melaksanakan tugas pada separuh masa pertama. Kami melakukan terlalu banyak kesilapan dan dari situ sukar untuk mengubah perlawanan.
"Kekalahan ini menyakitkan kerana ia adalah trofi yang kami mahu menang. Tetapi baki musim masih ada untuk kami. Kami hanya perlu kembali bermain dengan cara yang selesa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!