Ten Hag kecewa United sekadar seri
PENGENDALI Manchester United, Erik ten Hag kecewa dengan sikap para pemainnya yang tidak berusaha memburu gol kedua ketika diikat Crystal Palace 1-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Khamis.
Pemain tengah United, Bruno Fernandes telah meletakkan pasukan di depan pada minit ke-43 dan Palace hadir menyamakan kedudukan pada minit akhir perlawanan menerusi sepakan percuma menarik daripada Michael Olise.
Keputusan itu menyaksikan Palace menamatkan menamatkan aksi cemerlang sembilan kemenangan berturut-turut United.
"Kami kehilangan dua mata. Apabila berbaki dua minit dan anda berpeluang menang, Palace mendapat sepakan percuma dan menggunakanya.
"Anda tidak menjangkakan akan kehilangan mata. Kami sepatutnya berusaha lebih gigih untuk mendapatkan gol kedua itu dan kemudian tidak mencipta situasi yang menyebabkan kehilangan mata.
"Kami mendahului 1-0. Pada separuh masa kedua kami mempunyai ruang untuk menjaringkan gol kedua. Namun, saya tidak nampak kami benar-benar mahu menjaringkan gol.
"Sukar untuk menyatakan sebab pada hari ini. Saya perlu mengkritik pasukan saya kerana gagal mencari gol kedua," katanya.
United akan menghadapi Arsenal dalam perlawanan EPL seterusnya di Stadium Emirates dan jika tewas, mereka perlu melupakan hasrat untuk menjulang trofi EPL musim ini.
United juga mendapat tamparan hebat apabila bakal kehilangan tonggak tengah mereka, Casemiro dalam perlawanan menentang Arsenal selepas digantung perlawanan kerana mengumpul kad kuning.
Bagaimanapun, ten Hag tidak mahu panik dan percaya ada pemain lain yang boleh menggalas tanggungjawab ditinggalkan Casemiro.
"Dia pemain yang sangat penting untuk kami selain kami sedang berada di kedudukan ini ketika ini. Tetapi, kali terakhir kami menewaskan Arsenal tanpa Casemiro. Kami perlu melakukannya sekali lagi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!