Sasar RM55 bilion KDNK

Dari kiri, Mohd Hatta dan Ariffin ketika melawat gerai pameran usahawan koperasi.
Dari kiri, Mohd Hatta dan Ariffin ketika melawat gerai pameran usahawan koperasi.
A
A
A

KUANTAN - Kementerian Pembangunan Usahawan optimis menyumbangkan RM55 bilion Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam bidang keusahawanan koperasi menjelang 2020.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, ini berdasarkan pencapaian sektor itu yang mencapai KDNK sehingga RM40 bilion, tahun lalu.

Menurutnya, perkembangan keusahawanan koperasi dapat dilihat dengan 1,300 koperasi menceburi sektor perladangan Malaysia.

"Selaras usaha Institut Koperasi Malaysia (IKM) yang memperkasa program berimpak tinggi, usahawan digesa memberi penumpuan kepada sektor perladangan dan asas tani yang kian mempelopori pertumbuhan ekonomi negara serta menjamin kestabilan bekalan makanan negara.

"Malaysia import makanan RM17 bilion setahun dan ini membuatkan kita kehilangan begitu banyak jumlah pertukaran asing. Kebergantungan kita dengan import makanan sangat tinggi dan boleh menggugat kestabilan negara sekiranya berlaku sesuatu kepada negara yang kita import itu.

"Contohnya Vietnam yang eksport beras kepada Malaysia. Kita harus mempersiapkan pengeluaran dalaman kita terutama makanan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmukan Konvensyen Keusahawanan Koperasi: Sektor Perladangan dan Asas Tani, di Bukit Gambang Resort City, di sini, hari ini.

Dalam konvensyen itu, seramai 255 orang peserta kalangan koperator dan usahawan hadir bagi mendapatkan didikan dan nilai tambah usahawan.

Artikel Berkaitan:

Mohd Hatta berkata, bersesuaian dengan konsep keusahawanan, tumpuan diberikan kepada golongan B40 dalam merebut peluang menerusi koperasi.

Peserta bergambar kenangan dalam seminar anjuran IKM dan Kementerian Pembangunan Usahawan.
Peserta bergambar kenangan dalam seminar anjuran IKM dan Kementerian Pembangunan Usahawan.

Hadir sama Pengarah Seksyen Pematuhan dan Penilaian Kementerian Pembangunan Usahawan, June Suhaila Saran dan Ketua Pengarah IKM, Ariffin Mamat.

Menurutnya, koperasi yang mempunyai tanah di kawasan luar bandar digalakkan menceburi pertanian, bukan semata-mata aktiviti konvensional.

"Tingkatkan keberhasilan negara. Gunakan aplikasi teknologi moden di dalam pengawasan dan penjagaan tanaman.

"Koperasi turut digalakkan ceburi bidang lain yang bernilai tinggi seperti akuakultur, penanaman kaedah fertigasi dan meningkatkan perolehan di dua bidang tersebut," katanya.

Turut berkongsi pengalaman adalah Ariffin sendiri yang mengendalikan projek akuakultur di Arab Saudi.

Ariffin berkata, IKM dalam proses transformasi akan melaksanakan pendekatan membimbing koperasi menerusi program Million Ringgit Coop League (MiRiCLe).

Menurutnya, IKM akan memberikan tumpuan kepada koperasi yang mempunyai perolehan RM5 juta setahun dengan menjadi pemudahcara untuk meningkatkan pendapatan mereka.

"Sasaran IKM adalah 200 koperasi menyertai peringkat pertama MiRiCLe dan saringan akan dijalankan di pejabat zon IKM di Kuantan, Alor Star, Petaling Jaya, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!