Impian cuti ke Krabi lebur, ditipu syarikat pelancongan
SEREMBAN - Keterujaan 40 individu untuk bercuti ke Krabi, Thailand terbantut apabila mereka ditipu sebuah agensi pelancongan yang mengakibatkan kerugian lebih RM30,000.
Peserta rombongan Kartini Arshad, 58, berkata, perkara itu hanya diketahui mereka jam 4 petang pada Rabu apabila seorang wanita yang berurusan dengan pekerja syarikat pelancongan terbabit memaklumkan berlaku masalah membabitkan bas yang akan dinaiki mereka nanti.
"Kami sepatutnya menaiki bas dari Seremban ke sempadan Thailand pada jam 6 petang dan masing-masing semuanya dah bersiap sedia kerana ada yang datang dari Melaka, Kuala Lumpur dan Batu Pahat.
"Tapi kami diberitahu bas yang akan dinaiki di Krabi pada Jumaat nanti terbabit kemalangan. Kami tak percaya dan paksa syarikat guna bas dari Malaysia untuk perjalanan kami di sana," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Bagaimanapun katanya, sehingga jam 8 malam tiada bas yang datang dan pekerja syarikat pelancongan itu tidak lagi dapat lagi dihubungi.
Dia yang menguruskan 25 peserta rombongan itu berkata, setiap peserta telah dikenakan bayaran RM900 untuk menyertai pakej percutian selama lima hari terbabit.
Ujarnya, mereka membuat tempahan pada Julai tahun lalu dan telah membuat bayaran sebanyak tiga kali dengan diuruskan oleh seorang wanita yang bertanggungjawab berurusan dengan pekerja syarikat pelancongan itu.
"Bila sampai waktunya tak sangka pula jadi macam ini. Saya pun jadi serba salah sebab saya yang uruskan 25 peserta yang terdiri daripada kawan-kawan dan keluarga.
"Kita telah hubungi Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pelancongan itu, tapi malangnya dia beri alasan tak bertanggungjawab kerana tidak menerima duit daripada pekerja yang menguruskan trip pelancongan itu," katanya.
Sementara itu suri rumah Najihah Rosli, 25, berkata, tidak menyangka percubaan pertama kali bercuti menggunakan khidmat syarikat pelancongan menjadi pengalaman pahit buatnya dan suami.
"Saya dan suami dah mula ragu-ragu bila diberitahu bas tak dapat datang kerana terlibat kemalangan.
"Rasa terkilan juga kerana ini kali pertama kami nak pergi Krabi. Tapi nampaknya tak kesampaian," katanya yang datang dari Melaka.
Tidak puas hati menjadi mangsa penipuan pelancongan, sebahagian mereka telah membuat laporan polis pada Rabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!