Lelaki hantar gambar lucah didenda RM10,000

Muhamad Asyraf didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar kerana menghantar gambar lucah menerusi aplikasi Telegram, tiga tahun lalu.
Muhamad Asyraf didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar kerana menghantar gambar lucah menerusi aplikasi Telegram, tiga tahun lalu.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Seorang lelaki didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada Khamis atas pertuduhan menghantar gambar lucah menerusi aplikasi Telegram, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Muhamad Asyraf Ahmad Suhaimi, 28, turut berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Hakim Rohaida Ishak menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu imej yang lucah sifatnya dengan niat untuk menganiaya orang lain melalui aplikasi Telegram dengan nama akaun 'Acap' pada jam 1.57 pagi, 8 Januari 2020.

Hantaran itu kemudiannya dilihat pada jam 10 pagi di Taman Chandan Putri 3 di sini pada 9 Januari 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Siti Hajar Sulaiman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh dalam rayuannya meminta hukuman diringankan dengan alasan tidak mempunyai pekerjaan tetap selain perlu menanggung seorang isteri dan anak.

Bapa kepada seorang anak itu juga mengakui menyesal dengan perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

Siti Hajar bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman agar memberi pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh malah pihak lain agar tidak mengulangi kesalahan sama.

Hakim Rohaida kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau penjara enam bulan jika gagal bayar selain barang kes diserahkan kepada SKMM untuk dilupuskan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!