388 saman hari pertama Ops Tahun Baharu Cina di Kelantan
JPJ Kelantan mengeluarkan 388 notis saman pelbagai kesalahan berkait lalu lintas pada hari pertama Ops Tahun Baharu Cina di seluruh negeri pada Rabu.
A
A
A
Pengarahnya, Mohd Misuari Abdullah berkata, kesalahan tertinggi yang direkodkan menerusi operasi tersebut melibatkan tidak mempunyai lesen memandu, lesen kenderaan motor tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.
"Untuk makluman sepanjang Ops Tahun Baharu Cina 2023, JPJ Kelantan telah menggerakkan 300 anggota untuk melaksanakan tugas penguatkuasaan sehingga 27 Januari ini," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurut beliau, JPJ Kelantan tidak akan berkompromi dengan pengguna jalan raya yang dikesan melakukan kesalahan sepanjang operasi tersebut.
Ujarnya, operasi kali ini turut memberikan fokus kepada beberapa kesalahan iaitu
tidak mematuhi isyarat lalu lintas, menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan memandu di lorong kecemasan.
Mohd Misuari memberitahu, kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar, memandu di lorong kanan secara berterusan, memotong barisan, membawa muatan berbahaya, lebih muatan dan tayar celup tidak mengikut piawaian serta memandu secara rapat iaitu tidak menjaga jarak.
"Kita turut mengeluarkan larangan terhadap kenderaan barangan pada 20, 23, 24 dan 25 Januari.
"Ia melibatkan kenderaan barangan seperti lori jenis 'tipper' muatan 7,500 kilogram (kg), lori pengangkut rendah, pole trailer, lori tangki simen, platform trailer, lori balak, jentera berat beroda dan traktor," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!