Punca kematian mirip ikan lumba-lumpa masih misteri
LABUAN - Sejenis hidupan laut yang dianggap misteri dijumpai mati terdampar dalam keadaan telah reput di Pantai Membedai di sini semalam, yang spesiesnya belum dapat dikenal pasti oleh pegawai perikanan dan veterinar.
Bangkai haiwan yang menyerupai ikan lumba-lumba sepanjang 1.8 meter itu dijumpai di pantai peranginan popular itu pagi semalam oleh seorang “jogger” (orang yang berlari-lari anak) yang terkejut dengan penemuan itu.
Pengarah Jabatan Veterinar Labuan Dr Marysia James Abie berkata agak sukar untuk menentukan punca kematiannya kerana bangkainya sudah reput teruk dan kepalanya hancur sedikit.
"Haiwan yang dianggarkan dalam usia juvana itu dipercayai telah mati lebih 72 jam lepas.
"Dan saya agak terkejut. Haiwan ini jarang diitemui di perairan kita, jadi melihatnya mati terdampar di pantai adalah amat menyedihkan,” kata beliau.
Beliau berkata daripada siasatan awal, mereka tidak menemui sebarang plastik dalam perut haiwan itu atau sebarang elemen yang menunjukkan ia dibunuh kerana ia tidak mempunyai sebarang kecederaan fizikal.
“Kita juga belum dapat memastikan sama ada haiwan itu ikan lumba-lumba atau dugong,” tambahnya.
Pengarah Jabatan Perikanan Labuan Faizal Ibrahim Suhaili ketika dihubungi bersependapat dengan Dr Mary bahawa haiwan itu jarang ditemui di perairan Labuan.
“Kami masih menunggu laporan penuh daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengenai penemuan itu sama ada ia mati di laut sebelum itu, atau sama ada haiwan itu adalah seekor ikan lumba-lumba, tetapi amat menyedihkan melihat haiwan itu mati terdampar di pantai kita,” kata beliau.
Haiwan itu kemudian ditanam di tempat yang sama.
Beberapa pelancong sempat merakam gambar tiga ekor ikan lumba-lumba yang dilihat berenang-renang di perairan Pulau Rusukan baru-baru ini.-Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!