Tiga individu kena tipu RM55,500
KUANTAN - Tiga individu kerugian RM55,500 dalam tiga kes berasingan selepas tertipu dengan pelaburan pelancongan dan iklan tawaran pinjaman wang yang tidak wujud, awal bulan lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusuf berkata, bagi kes pertama melibatkan seorang juruteknik berusia 45 tahun kerugian RM51,000 yang tertarik dengan tawaran pelaburan pakej pelancongan dengan dijanjikan penginapan secara percuma di sebuah resort di Cherating.
Tertarik dengan tawaran itu mangsa dan isteri telah pergi ke jemputan untuk mendengar pakej pelancongan itu.
"Mangsa ditawarkan dengan keuntungan RM1,000 selama 12 bulan dan wang tersebut akan dibayar selepas empat bulan dari tempoh pengadu masuk pelaburan percutian tersebut.
"Selain itu mangsa dijanjikan dengan pakej percutian dua hari satu malam di mana-mana hotel di Malaysia termasuk Langkawi dan Bali Indonesia.
"Mangsa berminat dan membayar deposit RM5,000 secara serahan tangan dan RM5,000 lagi menggunakan mesin mesin memindahkan wang serta empat kali transaksi keseluruhan RM41,000," katanya kepada pemberita.
Mohd Wazir berkata, siasatan awal mendapati lebih 10 laporan polis bersabit penipuan pakej sama, di daerah ini.
Sementara itu, seorang wanita yang bekerja sebagai peniaga makanan berusia 36 tahun serta seorang penyelia berusia 56 tahun, kerugian keseluruhan RM4,500 selepas tertarik dengan tawaran pinjaman menerusi Facebook.
"Mangsa pertama, meletakkan nombor telefon di iklan tersebut sebelum menerima panggilan telefon dari pihak syarikat pinjaman wang yang menawarkan pinjaman itu.
"Mangsa bersetuju untuk membuat pinjaman RM5,000 dengan bayaran balik RM234.00/bulan selama dua tahun dan diminta untuk menghantar butiran peribadi termasuk gambar kad pengenalan dan penyata akaun bank kepada individu tersebut melalui WhatsApp.
"Mangsa diminta membuat bayaran untuk proses pinjaman wang yang dimohon berjumlah keseluruhan RM3,500 namun selepas diminta bayar lagi, pengadu berasa ditipu.
"Pengadu rasa keliru dengan cara pinjaman ini dan datang ke balai polis buat laporan," katanya.
Mangsa kedua, seorang penyelia berusia 56 tahun juga ditipu menerusi modus operandi sama membabitkan kerugian RM1,000 yang dijanjikan pinjaman RM50,000.
Polis berkata, rakaman percakapan pengadu telah diambil termasuk semakan di syarikat telekomunikasi dan bank dalam usaha mengesan dan menangkap suspek.
Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!