Sorok rokok seludup dalam kebun sawit

Misbahudin menunjukkan gambar lokasi rokok seludup yang dirampas dan sebahagian rokok kretek selepas sidang akhbar di Menara JKDM Johor, Larkin, Johor Bahru pada Khamis.
Misbahudin menunjukkan gambar lokasi rokok seludup yang dirampas dan sebahagian rokok kretek selepas sidang akhbar di Menara JKDM Johor, Larkin, Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya membongkar tempat penyimpanan rokok seludup yang berselindung dalam kebun sawit di Kampung Pogoh Tengah, Segamat pada 1 Januari lalu.

Ketua Pengarah JKDM Johor, Misbahudin Parmin berkata, hasil pemeriksaan di lokasi tersebut menemukan 764,000 batang rokok pelbagai jenama dengan jumlah keseluruhan termasuk cukai RM1.27 juta yang disembunyikan di bawah kanvas.

"Semasa serbuan dilakukan tidak ada individu yang menjaga rokok seludup tersebut sebelum pihak kastam melakukan sitaan.

"Modus operandi sindiket ini adalah menyeludup rokok kretek yang dibawa masuk dari Indonesia dan disimpan sementara di kawasan itu sebelum diedar ke pasaran tempatan," katanya ketika sidang akhbar di Menara JKDM Johor di sini pada Khamis.

Beliau berkata, sindiket itu menjadikan ladang kelapa sawit sebagai tempat simpanan sementara bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Katanya, anggaran nilai rokok yang dirampas adalah sebanyak RM275,000 dan anggaran cukai terlibat pula sebanyak RM1 juta.

"Pihak JDKM Johor masih menjalankan siasatan untuk mengesan individu atau sindiket yang terlibat itu.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!