'Pulau' filem seram, bukan porno - LPF

Lembaga Penapisan Filem (LPF) mendapati terdapat perbezaan antara kandungan trailer filem Pulau yang dikongsikan di platform media sosial dengan kandungan yang dikemukakan untuk penapisan.
Lembaga Penapisan Filem (LPF) mendapati terdapat perbezaan antara kandungan trailer filem Pulau yang dikongsikan di platform media sosial dengan kandungan yang dikemukakan untuk penapisan.
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Penapisan Filem (LPF) mendapati terdapat perbezaan antara kandungan trailer filem Pulau yang dikongsikan di platform media sosial dengan kandungan yang dikemukakan untuk penapisan.

LPF dalam satu kenyataan pada Khamis menjelaskan, trailer filem berkenaan telah ditayangkan secara dalam talian menerusi beberapa platform di internet.

“LPF mengambil maklum akan isu yang berbangkit bagi filem bertajuk Pulau yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat umum di Malaysia setelah promosi filem ini dimulakan melalui perkongsian poster dan sedutan trailer filem menerusi media sosial.

“Trailer filem Pulau telah ditayangkan secara dalam talian, maka didapati bahawa kandungan yang ditayang tersebut adalah di luar bidang kuasa LPF,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam pada itu LPF turut menegaskan, filem tersebut merupakan sebuah filem seram dan bukan filem porno seperti yang digembar-gemburkan.

Justeru jelasnya, LPF melaksanakan tugas berdasarkan Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620) yang menetapkan fungsi penapisan filem dan bahan publisiti filem yang disiar, dipamer, disebar, ditayang, diedar atau dipancarkan secara fizikal (konvensional) kepada masyarakat umum di Malaysia, kecuali melalui internet.

“Dalam mengeluarkan sesuatu keputusan ke atas penapisan kandungan filem dan bahan publisiti filem, LPF akan meneliti dan memberikan perhatian khusus berpandukan kepada Garis Panduan Penapisan Filem (GPPF) Kementerian Dalam Negeri 2010.

“Ia merangkumi aspek-aspek seperti keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan, sosiobudaya serta ketertiban dan ketatasusilaan.

Artikel Berkaitan:

"LPF juga sentiasa peka dengan tatasusila serta sosiobudaya masyarakat Malaysia dan melaksanakan penapisan filem sebagaimana yang ditetapkan dalam garis panduan," jelasnya.

Sementara itu LPF turut menyatakan perhargaan terhadap maklum balas berkaitan penapisan filem dan sentiasa mengalu-alukan pandangan daripada semua pihak terutama yang bersifat konstruktif berdasarkan kepada keseluruhan kandungan sesuatu filem.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!