Bomba sahkan kebakaran 6 rumah tiada unsur jenayah

Azmi Osman dan laporan Sinar Harian.
Azmi Osman dan laporan Sinar Harian.
A
A
A

IPOH - Siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mendapati tiada unsur jenayah dalam kebakaran enam rumah di Bagan Ikan, Bagan Datuk hingga mengorbankan satu nyawa, Isnin lalu.

Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman berkata, siasatan dijalankan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur atau peralatan yang boleh dikaitkan dengan perilaku jenayah.

"Kita telah gerakkan Unit Anjing Pengesan K9 (unit K9) ke lokasi dan setakat siasatan yang dilakukan tidak menemui unsur jenayah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Kempen Pemeriksaan Menghapus Bahaya Kebakaran sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina di Tokong Kwan Yin Tong dekat sini pada Khamis.

Azmi berkata, jabatan itu telahpun mengambil beberapa sampel daripada kebakaran itu bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Katanya, antara sampel berkenaan termasuklah peralatan dalam rumah dan kabel yang dihantar ke makmal untuk dianalisa.

"Bahan-bahan bukti ini sudahpun dihantar ke makmal dan mungkin dalam satu atau dua minggu ini kita akan dapat keputusannya untuk mengetahui punca sebenar kebakaran," katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 6.30 pagi itu, seorang lelaki warga emas, Ong Chok Seng, 83, ditemukan rentung manakala cucunya, wanita berusia 24 tahun mengalami kecederaan di lutut dipercayai terjatuh ketika menyelamatkan diri.

Artikel Berkaitan:

Keadaan api marak menyebabkan operasi pemadaman mengambil masa hampir tujuh jam sebelum ditamatkan pada jam 1.21 petang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!