Kanak-kanak tercampak dari motosikal cedera ringan
KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan kanak-kanak yang tercampak dari sebuah motosikal yang terbabas dan hilang kawalan di persimpangan jalan berhampiran Endah Parade di sini pada Rabu berada dalam keadaan baik.
Polis Kuala Lumpur dalam satu hantaran di Facebook mengucapkan terima kasih kepada semua individu yang telah tampil menyalurkan maklumat berhubung kejadian berkenaan sejurus kejadian itu tular di media sosial.
"Polis Kuala Lumpur dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua individu yang menyalurkan maklumat bagi tindakan mengesan mangsa berkenaan.
"Penunggang motosikal dan kanak-kanak berkenaan mengalami kecederaan ringan dan sedang menerima rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM)," menurut kenyataan pada Khamis.
Pada Rabu Sinar Harian melaporkan, seorang kanak-kanak terjatuh setelah motosikal yang ditunggang seorang individu dewasa dipercayai bapanya terbabas dalam kejadian berhampiran Endah Parade, Sri Petaling.
Kejadian yang dirakam menerusi papan pemuka sebuah kereta itu kemudiannya tular di media sosial.
Menerusi rakaman video berdurasi 22 saat itu memaparkan seorang penunggang motosikal dipercayai cuba mengubah haluan sebelum motosikal yang ditungganginya terbabas dan melanggar sebuah kereta.
Ketika kejadian, terdapat seorang kanak-kanak perempuan duduk di bahagian tempat duduk hadapan motosikal telah terjatuh.
Mangsa kemudian dilihat cuba bangun sebelum diselamatkan beberapa pengguna jalan raya yang berada di lokasi kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!