Malaysia Madani untuk selesai masalah semua rakyat - Fahmi
PUTRAJAYA - Konsep Malaysia Madani yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja untuk mengangkat martabat negara tetapi bagi menyelesaikan masalah semua golongan rakyat, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Ditemui media selepas menghadiri Amanat Perdana Menteri di sini pada Khamis, Fahmi berkata, Anwar bukan sahaja meletakkan Malaysia Madani sebagai kerangka asas untuk gerak kerja bagi Kerajaan Perpaduan tetapi juga satu misi untuk seluruh rakyat Malaysia.
"Kita mendengar mesej tentang konglomerat dan projek-projek besar serta bagaimana tindakan terhadap apa-apa penyelewengan yang pernah berlaku sebelum ini adalah di tangan pihak berkuasa.
"Ini bagi saya memberi satu peluang yang sangat baik untuk satu ‘reset’ (penetapan semula) dan satu rekalibrasi supaya pergerakan kita memacu pertumbuhan ekonomi dalam keadaan politik yang stabil akan dapat dirancakkan selepas ini dan manfaatnya akan dapat dinikmati oleh rakyat dalam masa yang terdekat," katanya.
Fahmi berkata, setelah mendengar amanat yang disampaikan Anwar, semua kementerian, agensi dan badan kerajaan akan mula meneliti dokumen dan mengaplikasikan dalam dasar serta dalam pelaksanaan gerak kerja masing-masing.
Bagi Kementerian Komunikasi dan Digital, katanya, satu permukiman akan diadakan pada Khamis untuk meneliti apa yang telah diumum perdana menteri serta gagasan yang dibawanya.
Anwar pada Khamis memperkenalkan ‘Malaysia Madani’ sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.
Madani itu diacu berteraskan enam rukun iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!