Bekalan telur ayam di Pulau Pinang pulih tiga bulan lagi
BUTTERWORTH - Bekalan telur ayam di pasaran Pulau Pinang ketika ini berada sekitar 50 hingga 60 peratus dan ia dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan lagi.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, R Jegan berkata, orang ramai tidak perlu bimbang dengan membuat pembelian panik kerana bekalan telur ayam mencukupi termasuk sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
"Ketika ini stok telur ayam bagi semua gred terutama A, B dan C memang mencukupi, pihak kami boleh dikatakan setiap hari menjalankan tinjauan dan pemeriksaan di pasar raya, pusat beli-belah dan kedai runcit bagi memastikan bekalan (telur ayam) ada. Ayam dan minyak peket bersubsidi 1 kilogram pun setakat ini mencukupi.
"Pengusaha ladang tempatan sedang berunding dengan pihak kerajaan bagi mencari jalan penyelesaian mengenai bekalan telur ayam di pasaran. Jadi, dalam tempoh tiga bulan lagi bekalan telur ayam akan pulih sepenuhnya seperti biasa,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan mesra dan Pemantauan Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2023 peringkat Pulau Pinang di sebuah pasar raya di Bagan Ajam di sini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Pulau Pinang, A Mogan.
Mengulas lanjut mengenai bekalan telur ayam yang didakwa berkurangan di kedai runcit sehingga mendapat rungutan dalam kalangan pengguna, Jegan berkata, isu tersebut adalah melibatkan waktu penghantaran telur ayam yang berbeza di kedai-kedai terlibat.
"Pembeli mendakwa tiada bekalan telur di kedai-kedai runcit tetapi sebenarnya masalah itu timbul apabila penghantaran ke kedai runcit bukan dibuat setiap hari dan kalau (waktu penghantaran) bekalan telur ke kedai runcit itu kerap, maka bekalan telur ayam tidak akan berkurangan, begitulah sebaliknya,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, 122 pegawai penguat kuasa dan 66 pegawai pemantau harga KPDN Pulau Pinang ditugaskan di beberapa lokasi seperti pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah bagi membuat pemantauan sepanjang tempoh pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina 2023 bermula 15 hingga 29 Januari ini.
Beliau berkata, berdasarkan tinjauan mendapati peniaga terutama di pasar raya menjual dengan harga lebih murah berbanding harga kawalan maksimum yang ditetapkan.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!