UMNO Alor Setar sepakat sokong usul PAU 2022

Shaiful Hazizy
Shaiful Hazizy
A
A
A

ALOR SETAR - UMNO Bahagian Alor Setar sepakat menerima dengan hati terbuka keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang memutuskan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, pendirian tidak berbelah bahagi itu dizahirkan secara jelas selepas perjumpaan Jawatankuasa UMNO Bahagian Alor Setar bersama sayap Wanita, Pemuda dan Puteri serta kepimpinan akar umbi di peringkat cawangan.

Menurutnya, kesemua ahli menyatakan pendirian teguh terhadap keputusan PAU 2022 melalui kenyataan daripada Pemangku Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Zambri Mat.

“Penegasan itu dibuat bagi menjelaskan kenyataan seorang Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian yang dipetik oleh sebuah portal berita sebelum ini berkemungkinan telah disalah tafsir.

“Keputusan perwakilan UMNO pada PAU 2022 untuk tidak mengadakan pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden telah melalui proses usul, bahas dan diundi mengikut tatacara demokrasi yang selayaknya,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Justeru Shaiful Hazizy menegaskan UMNO Bahagian Alor Setar berpendirian keputusan majoriti ahli parti itu wajar dihormati dan tidak perlu dipertikaikan lagi oleh mana-mana pihak.

“PAU 2022 telah pun selesai, adalah penting bagi seluruh ahli UMNO meneruskan agenda, dasar dan hala tuju baharu khususnya mengembalikan penyatuan dalaman parti melalui satu titik persamaan meskipun berbeza pandangan,” katanya lagi.

Menurutnya, UMNO harus bingkas kembali dan membina semula keyakinan rakyat khususnya orang Melayu untuk kepentingan masa depan agama, bangsa dan negara.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail agak lantang menyuarakan pandangan berhubung dua jawatan tertinggi parti itu dan menyifatkan tidak perlu menggunakan alasan kestabilan parti bagi menyekat demokrasi dalam pemilihan.

Mohd Yusof dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebelum ini dilapor digantung keahlian parti selama enam tahun atau dua penggal.

Keputusan itu ditetapkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang diadakan pada 30 September tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!