[VIDEO] Jumlah isi rumah miskin tegar aib, memalukan - PM
PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan jumlah terkini isi rumah yang masih dikategorikan sebagai miskin tegar adalah aib dan memalukan.
Menurutnya, setakat Julai 2022, seramai 136,000 isi rumah berada dalam kategori tersebut.
"Adalah aib dan memalukan jika kita izinkan kelompok ini bersama 308,000 isi rumah dalam kategori miskin tatkala pemimpin hidup dengan mewah dan terus mengutip habuan yang bukan hak mereka," katanya.
Beliau berkata, angka daripada Jabatan Perangkaan turut mendedahkan terdapat 20 peratus daripada kumpulan isi rumah M40 beralih kepada kumpulan B40 susulan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Haram bagi kita pimpinan politik dan penjawat awam mengamalkan rasuah atau membazir sedangkan ratusan rakyat hidup dalam keperitan," katanya dalam ucapan amanat Perdana Menteri: Membangun Malaysia Madani, di sini pada Khamis.
Tegas Anwar, prinsip 'unbridled capitalism' yang diamalkan di negara ini suatu ketika dahulu menyaksikan golongan maha kaya terpilih menguasai hampir semua bidang.
"Ia seolah-olah kita dan seluruh jentera tidak mempunyai keupayaan mengenal pasti syarikat atau kelompok baharu untuk dilatih dan diangkat bersama supaya diperluas peluang kepada mereka," katanya.
Ujar beliau, ketiadaan kawalan kekuatan politik yang telus serta tata kelola yang baik di dalam mana-mana sistem yang tidak adil menyebabkan rompakan terhadap rakyat berpanjangan.
"Saya masih ingat kupasan ekonomi politik... Bahas soal pengalaman dalam sejarah apabila raja terdahulu atau kelompok lanun yang datang merompak ke desa tentunya menyebabkan keperitan hidup kerana kezaliman ini menyusahkan.
"Setiap minit kegunaan air dan elektrik umpamanya akan menyebabkan rompakan kecil berterusan setiap minit, setiap bulan, setiap tahun," katanya.
Menurutnya, pembebasan golongan terpinggir daripada belenggu kemiskinan perlu mengambil kira usaha memerdekakan mereka daripada terus bergantung kepada bantuan serta sumbangan kerajaan.
"Kita tidak mahu negara ini dibangunkan dengan ada dalam kalangan kaum minoriti atau golongan miskin daripada pelbagai latar belakang bangsa termasuklah rakyat Sabah serta Sarawak yang merasakan mereka terpinggir atau tersisih," katanya.
Beliau berkata, sokongan dasar Kerajaan Perpaduan Malaysia harus menjamin sokongan kepada pemodal supaya dapat menjalankan kegiatan ekonomi dengan baik tanpa menyebabkan penekanan serta sengsara terhadap rakyat di bawah.
"Ini bukan idea baharu saya dalam kebangkitan Asia.
"Saya sebut di antara lain asas ekonomi manusiawi yang harus faham dalam konteks Madani sekarang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!