17 rumah atas air di Semporna musnah terbakar
SEMPORNA - Kira-kira 17 rumah atas air musnah dalam kebakaran di Kampung Bangau-Bangau di sini pagi Khamis.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 9.20 pagi.
Operasi pemadaman api melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Atas Air Semporna serta dibantu anggota BBP Semporna dan BBP Kunak.
"Dianggarkan 17 kediaman jenis tidak kekal terbakar 100 peratus, namun kejadian tidak melibatkan kemalangan jiwa atau kecederaan.
"Kecekapan anggota bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke kawasan berhampiran selepas setengah jam pemadaman dilakukan,” menurut kenyataan itu.
Keadaan air laut yang cetek menyukarkan anggota bomba untuk ke lokasi kejadian dan terpaksa berjalan kaki sejauh 150 meter dari bot.
Operasi pemadaman yang menggunakan air laut tamat sepenuhnya pada jam 11.15 pagi manakala punca kejadian serta jumlah kerugian sedang disiasat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!