Pemuda larikan diri dari polis didenda RM3,000

Laporan Sinar Harian Rabu.
Laporan Sinar Harian Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tindakan seorang pemuda melarikan diri bersama kekasihnya sejauh lebih 70 kilometer sebelum ditahan polis pada Selasa menerima padah apabila didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.

Tertuduh, Muhammad Danish Izzuddin Mohd Sharpie, 20, mengaku salah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Samsuddin.

Hidayatul Syuhada memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Danish Izzuddin telah menghalang seorang penjawat awam menjalankan tugas.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Ahmad Rofaif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada Rabu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat dilaporkan berkata, tertuduh ditahan bersama kekasihnya iaitu seorang wanita berusia 18 tahun selepas terlibat dengan insiden mengejar sejauh lebih 70 kilometer.

Artikel Berkaitan:

Menurut Raub, video kejadian berkenaan yang berdurasi 1 minit 15 saat tular dalam media sosial sehingga mendapat perhatian umum.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!