China tak tahu di mana Jho Low berada
KUALA LUMPUR - Ahli perniagaan yang diburu, Low Taek Jho atau Jho Low yang didakwa dalang utama kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tidak diketahui di mana lokasi dia.
Menjelaskan perkara itu, Duta China di Malaysia, Bai Tian menegaskan pihaknya tidak tahu kedudukan ahli perniagaan itu meskipun ada dakwaan yang mengatakan Jho Low berada di China.
"Saya tak tahu jika Jho Low berada di China," katanya pada persidangan meja bulat bersama akhbar tempatan, di Kedutaan China, di sini, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Banglo milik keluarga Jho Low disita
Beliau mengulas laporan Sin Chew Daily yang memetik sumber akhbar harian itu, melaporkan Jho Low baru-baru ini berkunjung ke beberapa negara seperti Hong Kong, Macau, Shanghai, Shenzhen, Beijing dan Hainan di China.
Mengulas lanjut, Bai berkata bagaimanapun pihaknya sedia menghulurkan bantuan kepada Malaysia bagi memburu Jho Low.
"Kita bersedia salur bantuan dengan menyalurkan info baharu," katanya lagi.
Kata Bai, sehingga kini polis China gagal mengetahui kedudukan Jho Low meskipun pencarian teliti telah dilakukan.
"Kita juga cuba mencari untuk mengesan Jho Low berdasarkan maklumat diberikan Malaysia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!