Malaysian Tigers pamer semangat juang tinggi
SKUAD hoki negara mempamerkan semangat juang tinggi apabila menundukkan New Zealand 3-2 dalam aksi terakhir Kumpulan C Piala Dunia 2023 di Stadium Kalinga, Bhubaneswar pada Khamis.
Keputusan itu meletakkan skuad Malaysian Tigers sebagai naib juara kumpulan berkongsi enam mata dengan pendahulu Belanda yang akan turun beraksi menentang Chile sebentar lagi.
Kemenangan itu membolehkan Malaysia menentang pasukan di tempat ketiga Kumpulan D sama ada India atau Sepanyol di peringkat crossover bermula Sabtu ini.
Pemain sensasi, Faizal Saari meledak dua gol dan pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Razie Abd Rahim dengan satu jaringan untuk membantu Malaysia meraih kemenangan kedua selepas menewaskan Chile 3-2 Isnin lalu.
Sebaik permainan bermula, New Zealand pantas mengasak kubu negara untuk memburu gol awal dan berjaya meraih satu pukulan sudut, namun percubaan mereka tersasar.
Skuad negara bimbingan Arul Selvaraj cuba mengimbangi perlawanan menerusi beberapa gerakan dan berpeluang meraih gol sulung.
Namun peluang pukulan sudut penalti yang diperoleh Razie tersasar di sebelah kanan gawang New Zealand.
Malaysian Tigers yang menghuni ranking ke-10 dunia akhirnya menemui sentuhan menerusi gol padang Faizal yang memanfaatkan sebaiknya lorongan Shello Silverius pada minit kesembilan.
Memasuki suku kedua Malaysia memperoleh dua pukulan sudut penalti, namun strategi set piece yang dilakukan pemain negara gagal menemui sasaran.
New Zealand yang menghuni ranking kesembilan dunia berpeluang menyamakan kedudukan juga terpaksa akur dengan keampuhan kubu negara dikemudi benteng terakhir, Hafizuddin Othman.
Kerja keras skuad Malaysian Tigers melakukan 'latih tubi' pukulan sudut penalti menjelang aksi menentang The Black Sticks ternyata berbaloi.
Pukulan sudut penalti keenam akhirnya menemui sasaran apabila Razie menerusi direct flick meledak gawang New Zealand pada minit ke-43.
Tersentak dengan gol itu, skuad bimbingan Greg Nicol enggan mengalah dan akhirnya The Black Sticks berjaya menyamakan kedudukan menerusi dua gol dalam tempoh dua minit.
Hayden Phillips merapatkan jurang jaringan menerusi gol padang pada minit ke-52 dan berselang seminit Sam Lane pula meledak menerusi pukulan sudut penalti.
Bagaimanapun Malaysian Tigers mempamerkan kebangkitan untuk meledak gol kemenangan menerusi ketangkasan Faizal yang menghasilkan gol padang pada minit ke-57.
Rekod sepanjang 25 pertemuan antara kedua-dua pasukan sejak kali pertama bertemu pada 1975 memihak kepada New Zealand yang
mencatat 13 kemenangan, manakala Malaysia pula hanya menang enam kali dan seri enam kali.
Kali terakhir Malaysian Tigers menewaskan The Black Sticks ketika aksi Test Match 2018 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil dengan kemenangan 4-2.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!