'Kerajaan Perpaduan bukan jambatan konkrit' - Shabery

Shabery
Shabery
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menegur tindakan segelintir pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang suka menyerang secara terbuka sesama sendiri walaupun berada dalam satu kerajaan.

Beliau juga mengingatkan mereka bahawa kerjasama yang terjalin itu ibarat jambatan besi yang menggunakan banyak skru dan bukannya seperti jambatan konkrit.

"(Kerajaan pada hari ini ibarat) jambatan segera pakai besi. Banyak skru. Kalau tercabut, cepatlah runtuh.

"Nak buat yang konkrit makan masa," katanya yang turut memuat naik dua laporan berita pada Khamis.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim sebelum ini menyifatkan BN dan UMNO yang terdiri daripada kelompok kes jenayah rasuah dan pecah amanah sebagai virus dan ia sedang menjangkiti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy pula membayangkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO sebagai 'beban' bukan hanya kepada parti itu, tetapi juga buat Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan.

Ahmad Shabery dalam masa sama mengingatkan mereka agar menjadikan apa yang berlaku kepada PH sewaktu menjadi kerajaan selama 22 bulan lalu sebagai iktibar.

"Virus yang menyerang kerajaan PH 22 bulan dulu ialah suka mengata sesama sendiri secara terbuka. Tak jumpa jalan saluran dalaman. Virus begini belum ditemui vaksin.

Artikel Berkaitan:

"Semasa pembangkang, siapa pun boleh bercakap dan syok bercakap. Tak payah disiplin.

"Jadi kerajaan susah sikit. Sebab orang nak tengok bila ringgit nak sama seperti 2018, bila pasaran saham nak melonjak semula seperti sebelum 2018, bila pelabur datang berduyun-duyun seperti dulu. Berapa tinggi pula dividen Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan lain-lain. Paling susah pasal ayam dan telur," jelasnya.

Tegasnya, sebagai parti rakan gabungan dalam kerajaan, mereka perlu kuat bekerja dan kurangkan bercakap.

"Susah semua ini. Kena ada formula yang betul dan kena kerja kuat kurang cakap. Bukan cari pasal dengan rakan-rakan yang sama-sama dalam kerajaan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!