Pengguna jalan raya dipantau 'mata-mata' dari atas

Hanif (dua dari kanan) menunjukkan dron yang digunakan JPJ.
Hanif (dua dari kanan) menunjukkan dron yang digunakan JPJ.
A
A
A

SEREMBAN - "Awas! Anda diperhatikan 'mata-mata' dari atas". Itu peringatan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf kepada pengguna jalan raya yang memasuki negeri ini sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina yang bermula minggu ini.

Menurutnya, sebanyak dua unit dron digunakan untuk melakukan pemantauan terutama bagi kesalahan melanggar lampu merah, memotong garisan dan menggunakan lorong kecemasan.

"JPJ Negeri Sembilan antara yang terawal melaksanakan penguatkuasaan menggunakan dron.

"Kali pertama pada Op Hari Raya Aidilfitri 2022 di mana kita mengesan 30 kesalahan yang kebanyakannya ialah menggunakan lorong kecemasan dan memotong garisan.

"Bagi kita ia merupakan kaedah efisien dan efektif kerana tidak melibatkan jumlah keanggotaan dan pegawai yang ramai," katanya pada sidang akhbar sempena Op TBC 2023 di Plaza Tol Setul Lebuhraya Lekas di sini pada Khamis.

Hadir sama Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya, Choo Ken Hwa.

Ujarnya, pemantauan dengan menggunakan dron itu akan memfokuskan Jalan Persekutuan dan di sepanjang lebuh raya.

Sehubungan itu katanya, orang ramai diingatkan agar berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan kerana mereka sentiasa diperhatikan.

Sementara itu katanya, seramai 218 anggota penguatkuasa JPJ Negeri Sembilan yang terlibat dalam operasi TBC 2023.

"Sepanjang tempoh Op TBC tahun ini, beberapa aktiviti penguatkuasaan dilaksanakan antaranya kaedah penyamaran sebagai penumpang bas ekspres dan op khas motosikal yang diadakan secara bersepadu dengan agensi berkaitan.

"Selain itu JPJ turut menjalankan Pra-Ops TBC bermula 14 hingga 17 Januari 2023 yang melibatkan pemeriksaan bas di depoh dan terminal bas utama bagi memastikan bas berada dalam keadaan selamat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!