Audit: TPM arah pengurusan tertinggi KKDW bertindak segera

Ahmad Zahid Hamidi (tengah) pada sidang media selepas menghadiri Taklimat FELCRA Berhad di sini, hari ini. - Foto Bernama
Ahmad Zahid Hamidi (tengah) pada sidang media selepas menghadiri Taklimat FELCRA Berhad di sini, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengurusan tertinggi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) diarah untuk mengambil langkah segera terhadap dapatan Laporan Ketua Audit Negara 2021 baru-baru ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, ia termasuk memfokuskan kepada aspek ketirisan, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

"Tidak banyak ketirisan yang berlaku (dalam KKDW) dan saya memberitahu mesyuarat pengurusan tertinggi KKDW bahawa kita mesti mengambil langkah segera untuk mengatasi dapatan audit yang memfokuskan kepada beberapa perkara antaranya ketirisan dan penyelewengan.

"Perkara ini mesti diberikan tumpuan segera oleh pengurusan tertinggi dan pegawai," katanya pada sidang media selepas menghadiri Taklimat Felcra yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Datuk Mat Roni Zakaria di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata bahawa semua menteri mesti meneliti setiap teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara 2021, terutama melibatkan perkara berulang yang tidak ditangani.

Anwar berkata, penelitian itu termasuklah perbelanjaan, ketirisan dan perolehan yang tidak menepati syarat serta peraturan.

Mengulas perkembangan isu pelantikan semula bekas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan sebagai Pengerusi Felcra, Ahmad Zahid berkata, ia akan diselaraskan dengan pelantikan pengerusi di semua agensi lain.

Pada 16 Disember lepas, Ahmad Zahid memaklumkan pelantikan semula Ahmad Jazlan sebagai Pengerusi Felcra selepas mengambil kira kehendak perwakilan Koperasi Peserta-Peserta Malaysia Bhd, bagaimanapun Perdana Menteri mengumumkan pelantikan semula itu ditangguhkan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!