Tambahan 12 lagi anjing K9 diperlukan - JBPM
PUTRAJAYA - Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dalam perancangan untuk menambah sebanyak 12 ekor lagi anjing pengesan (K9).
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, langkah itu perlu selepas Unit K9 JBPM menunjukkan prestasi baik dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) ketika tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali, pada Disember lalu.
“Kita akan menambah 12 ekor lagi anjing K9 selepas kelulusan Unit Perancang Ekonomi (EPU), setakat ini kita ada ada 36 ekor anjing K9 (aset hidup).
“Sebenarnya anjing K9 ini mempunyai disiplin khas dan bukan boleh dikatakan kumpulan anjing K9 biasa," katanya kepada sidang akhbar selepas menghadiri perbarisan tahunan 2023 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di ibu pejabat JBPM, di sini, pada Khamis.
Mohammad Hamdan berkata, penambahan unit K9 itu bagi perancangan untuk menambah cadangan cawangan Unit K9 di kawasan Utara.
"Pakej pengendali dan seekor anjing Unit K9 dianggarkan lebih RM400,000.
"Kita berharap agar Kementerian Kewangan memberikan kita sedikit peruntukan tersebut untuk operasi SAR," katanya.
Dalam pada itu, JBPM juga dalam perancangan untuk menambah aset dengan membeli 150 jentera di mana lima daripadanya jentera khas untuk memadamkan kebakaran.
“Kita juga akan membuat perolehan bagi kenderaan utiliti dan penyelenggaraan helicopter dan pesawat dan pembinaan balai bomba dan kita akan rasmikan beberapa balai termasuk di Parlimen Tambun kawasan Perdana Menteri,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!